Persediaan Usahawan Sempena Rentas Negeri | Tips Online Marketing
Dah boleh rentas negeri! Persediaan usahawan sempena rentas negeri amat penting agar dapat menarik minat pelanggan untuk membeli produk kita. Pengumuman kebenaran rentas negeri oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia semalam sudah pastinya menjadikan seluruh rakyat Malaysia gembira. Saat yang paling ditunggu-tunggu selama ini telah pun tiba.
Ramai yang berhasrat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, betul tak?
Ketika waktu beginilah usahawan perlu bijak menggunakan peluang yang ada untuk mempromosikan produk dan servis kita. Kali ini, Cik Puteri kongsikan tips online marketing yang berguna untuk para usahawan manfaatkan sempena rentas negeri.
Usahawan Makanan – Persediaan Usahawan Sempena Rentas Negeri
Bagi usahawan luar bandar yang menjual makanan, anda mempunyai kelebihan yang istimewa. Disebabkan ramai yang sudah lama tidak pulang ke kampung, sudah pastinya mereka rindu akan makanan tradisional di kampung masing-masing. Misalnya, bagi warga Kelantan, manisan seperti dodol, wajik, kuih jala mas dan sebagainya sudah pasti menjadi kerinduan anak rantau yang sudah lama tidak pulang ke kampung.
Justeru, usahawan makanan seharusnya menggunakan peluang ini untuk mempromosikan produk anda. Ikuti 3 tips online marketing berikut.
1. Ambil gambar produk makanan dan edit dengan cantik
Gambar yang cantik bukan sahaja akan menarik perhatian ramai, malah boleh membuatkan orang terliur! Oleh itu, usahawan boleh menggunakan Canva untuk mengedit gambar makanan yang telah diambil. Ubah background gambar tersebut menjadi gambar suasana kampung untuk lebih membuatkan pelanggan tertarik. Baca di sini tentang Tips Mudah Ambil Gambar Makanan.
2. Update gambar produk di media sosial
Media sosial merupakan medium yang amat penting dalam online marketing. Media sosial sangat berguna untuk memastikan lebih ramai pelanggan tahu tentang produk yang dijual. Jadi, usahawan perlu update gambar makanan di Facebook Page, Instagram, TikTok dan blog.
Bagi usahawan makanan yang mempunyai blog, boleh juga tulis mengenai produk yang dijual. Sertakan juga link Facebook Page atau nombor telefon untuk memudahkan pelanggan menghubungi anda. Sebagai persediaan usahawan sempena rentas negeri, boleh lihat contoh di sini ya.
3. Sertakan hashtags lokasi perniagaan
Sebelum gambar diupdate di media sosial, sertakan juga hashtags lokasi perniagaan anda dalam post yang ingin dibuat. Hal ini membantu memudahkan produk anda dijumpai apabila pelanggan membuat carian menggunakan hashtags tersebut. Contohnya:
- #kotabharu
- #pasarsitikhadijah
- #pasarpayang
Hasilnya, lebih ramai pelanggan yang bakal melihat dan tertarik untuk membeli produk makanan yang dijual.
Usahawan Pakaian – Persediaan Usahawan Sempena Rentas Negeri
Nak rentas negeri pun perlukan pakaian yang sesuai, betul tak? Misalnya, tudung ironless, ironless dress dan kasut baru. Tapi yang paling penting, pakaian perlu selesa. Maklumlah, cuaca di Malaysia agak panas.
Jadi, bagi usahawan pakaian, apa perlu buat sebagai persediaan usahawan sempena rentas negeri?
1. Jual pakaian yang diperbuat daripada fabrik yang ringan dan selesa
Memandangkan ramai yang akan pulang ke kampung, sudah pastinya ramai yang mencari baju yang selesa untuk dipakai di kampung nanti. Justeru, fabrik seperti kapas amat sesuai untuk dijual ketika musim rentas negeri ini. Ditambah pula dengan ciri istimewa, iaitu pakaian tanpa gosok (ironless), sudah pastinya jualan anda akan mendapat sambutan hebat.
2. Ambil gambar produk dan edit dengan cantik
Macam sama je dengan point untuk usahawan makanan…
Ya, memang sama! Penggunaan gambar yang cantik sangat penting untuk menarik minat pelanggan. Ditambah pula dengan penggunaan background bersuasanakan kampung, para pembeli sudah dapat membayangkan diri mereka menggayakan pakaian tersebut di kampung mereka.
3. Update gambar produk di sosial media
Sama seperti usahawan makanan, gambar produk perlu diupdate di semua platform media sosial yang usahawan ada. Jika ingin meningkatkan jualan, mengadakan promosi merupakan salah satu cara yang boleh usahawan pakaian lakukan. Misalnya, menawarkan diskaun 10% untuk pembelian item kedua.
Dah beli pakaian baharu, barulah semangat nak balik kampung!
Persediaan usahawan sempena rentas negeri – Usahawan Training pun terlibat?
Ya, betul. Sejak bermulanya norma baharu, usahawan training mula mengadakan training secara online, sama ada pada hari bekerja, mahupun hujung minggu. Namun begitu, sekiranya rentas negeri telah bermula, sudah pastinya usahawan training perlu mengubah waktu urusan perniagaan mereka.
Hal ini kerana boleh dikatakan waktu hujung minggu bakal dipenuhi dengan aktiviti bersama keluarga, misalnya balik kampung dan bercuti. Jadi, apakah tips online marketing untuk usahawan training?
1. Tetapkan waktu training kepada hari bekerja sahaja
Jika sebelum ini jadual usahawan training pada hujung minggu dipenuhi dengan kehadiran peserta training, usahawan perlu buat sedikit perubahan. Disebabkan rentas negeri dibenarkan, banyak aktiviti yang akan dilakukan oleh orang ramai pada hujung minggu.
Oleh itu, sebaiknya hadkan waktu training kepada hari bekerja sahaja agar peserta tidak tertinggal kelas. Namun begitu, ianya bergantung juga atas budi bicara kedua-dua belah pihak. Akan tetapi, apa perlu buat jika training terpaksa juga dijalankan pada waktu hujung minggu? Baca tips kedua sebagai persediaan usahawan sempena rentas negeri.
2. Tukarkan mod training daripada video kepada audio
Platform video meeting seperti Zoom Meeting sudah tidak asing lagi bagi uasahawan training, bukan? Dalam hal ini, wujudnya komunikasi dua hala antara usahawan training dan juga para peserta. Namun, jika Zoom Meeting tidak dapat dijalankan, para usahawan training jangan risau!
Ubah sahaja mod training daripada video kepada audio. Misalnya, rakam video pengajaran terlebih dahulu. Kemudian, jual rakaman tersebut kepada pelanggan yang berminat mengikuti kelas tersebut. Dengan ini, mereka dapat menonton rakaman kelas tersebut pada bila-bila masa sahaja. Selain itu, mereka juga boleh mendengar audio rakaman tersebut ketika memandu.
Bagaimana pula jika peserta mahu menghubungi usahawan training untuk bimbingan? Baca tips seterusnya.
3. Update perkembangan terkini di media sosial
Platform media sosial memainkan peranan penting untuk berkomunikasi dengan peserta. Misalnya, di Facebook Page, usahawan training boleh mengemaskini tarikh-tarikh penting bagi kelas training yang akan dijalankan kelak.
Selain itu, perkongsian ilmu dan tips-tips yang berkenaan adalah sangat digalakkan. Hal ini kerana para peserta dapat belajar secara tidak langsung ketika melayari Facebook mereka. Dengan ini, proses pembelajaran tidak terhad kepada rakaman video sahaja.
Akhir sekali, berikan juga link WhatsApp atau nombor yang boleh dihubungi oleh para peserta sekiranya mereka mempunyai sebarang pertanyaan.
Usahawan Bengkel perlu tahu – Persediaan usahawan sempena rentas negeri
Pada pendapat Cik Puteri, usahawan bengkel yang paling mendapat perhatian umum apabila rentas negeri diumumkan. Hal ini kerana, keselamatan kenderaan merupakan aspek utama yang perlu dipertimbangkan sebelum bertolak pulang ke kampung. Maklumlah, perjalanan bukannya dekat. Susah pula jika berlaku kerosakan kenderaan di pertengahan jalan.
Apa pula tips online marketing untuk usahawan bengkel ketika musim rentas negeri ini?
1. Buat promosi servis kenderaan
Sebelum menggunakan kenderaan untuk perjalanan jauh, pemilik kenderaan seharusnya menghantar kenderaan kepada bengkel untuk diselenggara terlebih dahulu. Namun begitu, kos penyelenggaraan yang agak tinggi kadangkala telah menghalang pemilik kenderaan untuk berbuat demikian.
Justeru, untuk menarik perhatian pelanggan, usahawan bengkel boleh mengadakan promosi harga servis kenderaan yang lebih berpatutan kepada pelanggan.
2. Update promosi di media sosial
Nama pun online marketing, perlulah gunakan platform pemasaran online, betul tak?
Justeru, usahawan bengkel perlu memanfaatkan media sosial untuk memberitahu promosi yang dijalankan di bengkel anda. Senaraikan juga servis yang ditawarkan di bengkel anda.
Dan akhir sekali, berikan link WhatsApp atau nombor telefon anda agar mudah dihubungi oleh pelanggan, terutamanya jika pelanggan memerlukan khidmat anda di waktu kecemasan.
Mengapakah persediaan usahawan sempena rentas negeri amat penting?
Tips-tips online marketing yang telah Cik Puteri senaraikan di atas sebenarnya amat penting dalam membantu para usahawan meningkatkan jualan di musim Covid-19 ini. Kita sedia maklum bahawa sejak larangan rentas negeri dikuatkuasakan, sedikit sebanyak pendapatan usahawan turut terjejas.
Setakat ini sahaja tentang persediaan usahawan sempena rentas negeri yang diumumkan semalam. Cik Puteri harap perkongsian kali ini dapat membantu memberi idea buat usahawan makanan, pakaian, training, dan juga bengkel. Selamat merentas negeri dan jaga diri semua!