Permohonan Lesen Perniagaan Kedai Makan
Perlu atau tidak membuat permohonan lesen perniagaan kedai makan?
Setiap negeri mempunyai prosedur dan syarat permohonan yang berbeza, terutamanya dalam industri makanan. Hal ini kerana ia merupakan sektor penting yang boleh mendatangkan kemudaratan terhadap orang awam dan meningkatkan risiko penyakit.
Perlesenan restoran dan kedai makan adalah penting untuk memastikan perniagaan beroperasi dengan cara yang selamat, memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti makanan, serta melindungi kesihatan awam. Proses untuk membuat permohonan lesen perniagaan restoran atau kedai makan adalah sangat mudah, dan tempoh kelulusan adalah SERTA-MERTA!
Tuan puan juga boleh klik di sini untuk mengetahui cara-cara memohon lesen premis perniagaan dengan Majlis Daerah.
Perundangan dan Akta | Permohonan Lesen Perniagaan Kedai Makan
Ia adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 119 Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 171 dalam peraturan bersabit. Jika seseorang didapati membuka premis perniagaan tanpa memperoleh lesen dari pihak berkuasa tempatan, beliau boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM2000 atau penjara maksimum 1 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Lesen Serta-Merta
Permohonan lesen perniagaan di negeri Selangor telah dikemas kini dan ditambah baik daripada prosedur sebelumnya kepada prosedur semasa yang digunakan hari ini. Penambahan ini bertujuan untuk memudahkan lagi pengeluaran lesen dan menjadikannya lebih cekap apabila memproses permintaan lesen yang semakin meningkat setiap hari.
Gambar di bawah memaparkan dua carta alir bagi proses pemeriksaan lesen dan pengeluaran lesen.
Syarat-Syarat Kelulusan Serta-Merta
Secara amnya terdapat 2 (dua) syarat yang perlu dipenuhi untuk memperoleh kelulusan serta merta iaitu Syarat Am dan Syarat Khas untuk lesen restoran dan kedai makan.
Syarat-Syarat Am Kelulusan Serta-Merta Lesen Perniagaan Kedai Makan
1. Keselamatan premis
Sediakan kotak rawatan perubatan kecemasan yang lengkap dan rapi. Alat pemadam api yang mencukupi yang diluluskan oleh pihak Bomba dan Penyelamat juga perlu ada. Premis hendaklah mempunyai pencahayaan dan aliran udara secukupnya.
2. Kebersihan premis
Premis mestilah dilengkapi dengan sistem bekalan air, elektrik dan kumbahan yang baik dan selamat. Paparkan papan tanda larangan merokok. Tandas hendaklah sentiasa diselenggara dengan baik dan bersih.
3. Pengurusan sisa buangan
Menyediakan tong sampah yang bertutup secukupnya di sekitar premis serta mewajibkan penggunaan beg plastik yang bersih.
4. Lain-lain | Permohonan Lesen Perniagaan Kedai Makan
Dilarang menjalankan apa-apa aktiviti perniagaan atau kerja lain tanpa permit daripada majlis.
Syarat-syarat Khas Kelulusan Serta-Merta Lesen Perniagaan Kedai Makan
1. Pengusaha makanan
Semua pengusaha mesti mendaftar bagi menjalani pemeriksaan perubatan dan suntikan typhoid untuk diberikan kebenaran mengendali makanan.
Pengusaha diwajibkan mengikuti Kursus Pengendalian Makanan (KPM) yang disyorkan oleh Majlis Daerah.
2. Tempat makan
Lantai ruang makan perlu ditutup rapi dengan jubin dan dinding jubin mestilah sekurang-kurangnya 1.5 meter dari lantai. Sediakan singki basuh tangan yang mencukupi untuk kemudahan pelanggan yang hadir.
3. Dapur
Sediakan ruang yang mencukupi untuk penyediaan makanan dan pastikan dapur sentiasa dalam keadaan bersih dan terurus.
4. Stor
Semua perkakas dan bahan mentah mestilah dalam keadaan baik dan bersih serta disimpan di atas rak, kabinet atau meja dalam keadaan tersusun dan kemas.
Borang Permohonan Lesen Perniagaan Kedai Makan
Borang permohonan lesen kini boleh didapati secara percuma di kaunter pejabat PBT yang bertanggungjawab. Pastikan tuan puan membawa dokumen sokongan dan ikut arahan seperti di dalam panduan yang tertulis untuk melengkapkan borang permohonan lesen premis perniagaan untuk kelulusan serta-merta.
Setakat ini dahulu perkongsian Cik Min pada kali ini. Diharapkan agar artikel ini bermanfaat untuk para usahawan di luar sana. Untuk mendapatkan lebih banyak artikel menarik, tuan puan boleh layari laman portal Lunastory.
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.