Selamatkah Beli Ubat Online

October 1, 2019 by No Comments

Artikel LunaStory ini adalah tentang selamatkah beli ubat online. Zaman Internet dihujung jari ini semua orang boleh beli ubat online. Pilih sahaja yang mana mahu, klik, bayar dan seterusnya ianya akan dihantar ke pintu rumah atau pejabat.

Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia terus mempergiatkan usaha dalam memberikan kesedaran kepada pengguna melalui Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian sepanjang bulan Oktober 2019.

Kempen ini sangat penting bagi memastikan rakyat Malaysia waspada dan beringat tentang selamatkah beli ubat online yang boleh dilakukan secara terbuka di Internet.

Kempen kesedaran dengan tag line #BiarBetulIklanNi! akan turut dijalankan sewaktu Program Santuni Rakyat, Kenali Ubat Anda pada 5 Oktober 2019 di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor.

Jadi lepas ni jika Tuan/Puan mahu beli ubat melalui online selepas melihat iklan di Internet, semak dahulu dan boleh tinggalkan tagline #BiarBetulIklanNi! di bahagian komen pada iklan ubat yang mencurigakan. Mana tahu, usaha kecil anda ini dapat membangkitkan perasaan berwaspada pada warganet yang lain supaya tidak terus PM pengiklan tersebut.

Kenapa Pentingnya Kita Tahu Cara Beli Ubat Online ini?

Siapa pernah tengok filem “Do Re Mi” terbitan tahun 1966. Lakonan dan ciptaan lagu oleh P Ramlee, AR Tompel dan Ibrahim Din.

Dalam bait-bait lagu “Obat” dalam filem hitam putih “Do Re Mi”, “kalau salah obat, melompat“. Orang dulu-dulu pun tahu bahaya salah makan ubat tanpa preskripsi yang betul.

Do Re Mi

Beginilah kedah pemasaran zaman dulu-dulu. Daripada membuat persembahan secara langsung di jalanan dengan hanya berbekalkan gitar dan kreativiti dalam berkarya, jual ubat tipu pun laku.

Dan ini adalah mesej penting yang cuba disampaikan di dalam filem tahun 1966 tersebut: berhati-hati dengan penipu (scammer), terutamanya penjual ubat-ubatan.

Di dalam filem tersebut, pembeli-pembeli ubat hanya menyedari mereka ditipu oleh Do Re Mi apabila tiada kesan selepas menggunakan ubat yang dibeli.

Bayangkan di zaman sekarang, ubat yang dijual secara berleluasa di Internet membuatkan kita sebagai pengguna perlu tahu selamatkah beli ubat online.

Kalau ubat yang kita beli itu tidak memberikan kesan, sudah satu hal. Hal yang lebih bahaya sekiranya ianya adalah ubat yang tidak berdaftar, ubat tiruan dan ubat dicampur palsu Racun Berjadual yang boleh mengancam nyawa!

Siapa Yang Memantau Aktiviti Pengiklanan Ubat Online Di Malaysia?

Bahagian Penguatkuasaan Farmasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia adalah agensi yang bertanggungjawab dalam mengawal penjualan dan pengiklanan ubat-ubatan di Malaysia.

Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan Agensi Regulatori Farmasi Negara yang bertempat di Petaling Jaya, Selangor.
Program Perkhidmatan Farmasi dan Agensi Regulatori Farmasi Negara yang bertempat di Petaling Jaya, Selangor.

Tuan/Puan perlu dapatkan nasihat ahli farmasi, iaitu Rakan Ubat Anda sebelum membeli sebarang ubat dan juga produk kesihatan.

Rakan Ubat Anda, ahli farmasi dapat memberikan panduan yang tepat dalam mendapatkan ubat yang diperlukan.

Penglibatan agensi-agensi ini berkait rapat dengan akta-akta tertentu yang bertujuan untuk melindungi pengguna. Sebagai pengguna ubat-ubatan, supplemen kesihatan ataupun barangan kosmetik kita perlu membiasakan diri dengan perkataan ini: Lembaga Iklan Ubat.

iklan ubat berkumandang di radio
Selalunya, bila memandu pada waktu petang selepas balik kerja, selalu terdengar iklan komersial tertentu yang bermula atau berakhir dengan ayat disclaimer seperti ini: “Iklan ini diluluskan oleh Lembaga Iklan Ubat…”

Bukan mudah untuk sesuatu iklan ubat produk untuk melepasi kriteria kelulusan daripada badan ini. Lembaga Iklan Ubat yang memberi kelulusan terhadap iklan-iklan ubat di Malaysia bagi memastikan iklan dibuat secara bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan.

Sebagai pengguna, ada beberapa tips untuk mengenal pasti iklan yang tiada kelulusan Lembaga Iklan Ubat (LIU), KKM.

Antara tips untuk mengenal pasti iklan yang tiada kelulusan adalah seperti berikut:

  1. Iklan ubat berkaitan rawatan mahupun pencegahan dan diagnosis terhadap 20 jenis penyakit, antaranya ialah kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, kanser dan lain-lain.
  2. Iklan melibatkan pil gugur (abortion).
  3. Iklan melibatkan peningkatan fungsi jantung/buah pinggang
  4. Iklan yang melibatkan peningkatan fungsi dan prestasi seksual (sama ada secara tersurat atau tersirat).
  5. Memuatkan kenyataan superlatif seperti ‘MUJARAB’, ‘DIJAMIN BERKESAN’, ‘AJAIB’, ‘TIADA KESAN SAMPINGAN’, ‘UNGGUL’ dan seumpamanya.
  6. Pengendorsan daripada ahli professional seperti penggunaan kot putih (white coat) dan stetoskop.
  7. Produk dikelaskan sebagai KOSMETIK (mempunyai nombor notifikasi; contohnya NOT12345678K) dan membuat iklan yang melampaui skop takrifan kosmetik (contoh spray untuk sakit sendi, produk titis mata dan minyak angin untuk lutut).
  8. Iklan ubat yang memberikan jaminan keberkesanan dalam tempoh yang tidak munasabah.
  9. Iklan yang ubat kurus yang tidak menyarankan keperluan untuk diet dan juga senaman yang berterusan.

Selamatkah Beli Ubat Online?

Langkah Paling Utama: Semestinya memastikan samada ubat tersebut adalah ubat berdaftar atau tidak! Dan pastikan iklannya ada kelulusan KKLIU.

waspada pembelian ubat online yang tidak berdaftar
Gambar sebagai hiasan

Kempen yang dijalankan oleh kerajaan sememangnya aktif dijalankan sejak dahulu lagi. Kempen sebegini bermula dengan giat pada tahun 2015, dengan tema “Pastikan Semak Sebelum Beli.” Sejajar dengan perkembangan masa dan teknologi, kempen kerajaan meneroka pemasaran ubat di atas talian dengan tema terbarunya pada tahun 2019 iaitu hashtag #BiarBetulIklanNi!

Ada 2 perkara paling penting yang boleh anda semak:-

  • Mempunyai nombor berdaftar MAL 8 digit. Contoh Nombor pendaftaran MAL: MAL12345678T
    Tuan/Puan boleh menyemaknya di http://www.npra.gov.my atau muat turun aplikasi NPRA Product Status dari Google Play.
  • Pastikan iklan mempunyai kelulusan Lembaga Iklan Ubat (contoh KKLIU 1234/2019) semak di www.pharmacy.gov.my

2 perkara ini yang anda boleh semak sebelum membuat pembelian ubat online.

(sumber: program wawancara radio bersama dengan Pegawai Penguatkuasaan Farmasi, KKM. Link penuh di akhir artikel ini)

Cara Beli Ubat Online
Cara Beli Ubat Online

Oh, ingat tak tadi contoh nombor pendaftaran MAL tadi? MAL12345678X? Pengiklanan ubat terkawal dan memerlukan preskripsi adalah terlarang, iaitu ubat yang berakhir dengan huruf “A”.

kategori pendaftaran produk penting sebagai asas waspada pembelian ubat online
Sumber gambar dari MyHealth.gov

Ubat terkawal adalah ubat yang tidak boleh dibeli dalam talian. Sebahagian ubat terkawal memerlukan preskripsi sebelum ia didispens oleh mereka yg bertauliah.

*Disclaimer: Artikel ini sekadar bahan bacaan am dan tidak bertujuan menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan. Sebarang pertanyaan lebih lanjut boleh ditujukan kepada pihak dan badan yang berkenaan.

Sumber rujukan utama:

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.