Hati-Hati Ubat 3 Serangkai
Artikel “Hati-Hati Ubat 3 Serangkai” ini merupakan artikel ke-9 daripada siri artikel yang ditulis bersempena dengan kempen kesedaran “Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian” daripada kempen yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Penyakit 3 Serangkai
Apa itu penyakit tiga serangkai?
Penyakit 3 serangkai adalah 3 penyakit kronik utama yang dihidapi oleh rakyat Malaysia.
Kementerian Kesihatan Malaysia di laman Facebook (29 Mac 2019) menyatakan secara tidak langsung penyakit 3 serangkai:- (link)
- darah tinggi
- sakit jantung
- diabetes
Ada juga versi penyakit 3 serangkai yang lain seperti diabetes, jantung dan kanser. [link]
Apa pun versi penyakit 3 serangkai, tidak dapat dinafikan yang ianya merujuk kepada penyakit kronik yang popular di kalangan rakyat Malaysia.
___
Recap: Penyakit Kronik Dan Ubat
Seperti di dalam siri artikel berkaitan dengan “Waspada pembelian ubat dalam talian,” ada beberapa jenis iklan ubat yang tidak boleh membuat tuntutan terhadap rawatan, pencegahan dan diagnosis melibatkan penyakit-penyakit yang dilarang.
___
Baca: Panduan Pengiklanan Produk Untuk Usahawan
Perhatikan yang penyakit 3 serangkai sakit buah pinggang, sakit jantung dan kencing manis antara yang tersenarai di atas.
Jika anda atau orang rapat menghidap penyakit-penyakit ini dan sedang mendapatkan rawatan, anda perlu peka yang ubat-ubatan untuk penyakit ini TIDAK BOLEH DIIKLANKAN. Jika anda terjumpa iklan ubat termasuklah produk makanan atau minuman ataupun ubat sapu sekalipun YANG ADA TUNTUTAN PERUBATAN untuk penyakit-penyakit ini, anda perlu hati-hati ubat 3 serangkai ini.
Maksud Tuntutan Perubatan
Isu hati-hati dengan produk yang dijual online terutamanya sering mengingatkan kepada orang ramai untuk waspada dengan iklan produk yang membuat tuntutan perubatan seperti dapat menyembuh penyakit 3 serangkai.
Menurut takrifan rasmi, tuntutan perubatan diterangkan seperti berikut:-
Dalam iklan, tidak boleh ada apa-apa perkataan, frasa atau ilustrasi yang membuat tuntutan atau membayangkan penyembuhan apa-apa penyakit, selain melegakan simptom penyakit itu, melainkan jika diluluskan oleh LIU.
Bahagian 6.0, Garis Panduan Pengiklanan Ubat dan Produk Perubatan kepada Orang Awam (Pindaan 2019)
Di dalam klausa yang sama, takrifan yang lebih terperinci merangkumi:
- Rawatan atau pencegahan penyakit atau keadaan manusia selain 20 penyakit di dalam senarai tuntutan terlarang (Bahagian 4.4).
- Mendiagnosis penyakit atau menentukan kewujudan, darjah dan tahap sesuatu keadaan fisiologi.
- Mengubah bentuk, struktur, komposisi atau saiz tubuh manusia.
- Dengan cara lain, mencegah atau mengganggu fungsi fisiologi normal, sama ada yang kekal atau sementara, dan sama ada atau tidak dengan cara menamatkan, mengurangkan, menangguhkan, meningkatkan atau mempercepatkan fungsi tersebut.
Keseluruhan Bahagian ke-6 di dalam e-booklet garis panduan tersebut menerangkan lebih lanjut untuk orang awam jenis-jenis tuntutan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dalam beriklan. Jika iklan produk makanan atau minuman yang anda terlihat di internet mengandungi tuntutan perubatan untuk penyakit 3 serangkai, sila berhati-hati ya!
Senarai larangan untuk membuat pengiklanan bagi 3 penyakit serangkai (atau 20 penyakit) ini juga tersenarai di dalam bahagian lampiran 3B (A) (e): SENARAI BARANG ATAU PERKHIDMATAN YANG TIDAK BOLEH DIIKLANKAN DI BAWAH KAWAL SELIA KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA [link] terbitan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
*Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang garis panduan iklan produk di Malaysia dengan lebih terperinci, pautan ini juga membantu anda sebagai pengguna – link.
___
Hati-hati Ubat 3 Serangkai, Terutamanya yang Diiklankan
Kali ini topik dan kupasan nya memang straight to the point; hati-hati dengan ubat untuk penyakit 3 serangkai, atau mana-mana 20 penyakit yang telah disebutkan tadi.
Kepada yang memang berpenyakit dan sedang dalam rawatan doktor, jangan cuba-cuba nak try alternatif lain untuk ubat preskripsi yang doktor telah berikan kepada anda. Jika anda ingin cuba melawan penyakit-penyakit ini secara “alami” ataupun tradisional sekalipun, dapatkan nasihat doktor yang merawat anda terlebih dahulu.
Nak ambil khasiat sesetengah makanan (seperti supplemen) yang dikatakan mampu merawat penyakit itu pun, baik tanya dulu dekat doktor. Manalah tahu jika ada efek yang negatif jika makanan tersebut diambil dengan ubat darah tinggi, sakit jantung atau kencing manis.
Kepada yang sedang mencari jalan untuk membantu pesakit (seperti ahli keluarga sendiri), percayalah kepada doktor perubatan BERTAULIAH yang merawat ahli keluarga anda itu. Nak second opinion pun, ada caranya. Cari Doktor Pakar Bertauliah, bukannya “doktor internet.”
Kepada yang…self-diagnose diri sendiri? Terasa yang gejala penyakit 3 serangkai ada pada anda berdasarkan carian internet semata-mata? Ataupun “sebaran” di group Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram yang anda join?
Hentikan menipu diri sendiri. Rakyat Malaysia yang bijak pandai adalah rakyat Malaysia yang tahu di mana untuk mendapatkan nasihat atau konsultasi tentang kesihatan dan ubat di tempat yang betul. Faham?
*Kalau pergi jumpa doktor di Klinik Kesihatan kerajaan pun baru RM1. Memang lah dah agak pun akan ada ramai orang, so datang awal sikit. Dekat tempat admin, pukul 7.30 pagi pun dah boleh mula beratur untuk ambil nombor giliran. Sebelum masuk jumpa doktor pun dah siap ada pemeriksaan tekanan darah dilakukan oleh staf seperti jururawat. Sebab tu bila doktor panggil masuk, cepat sahaja urusan kebiasaannya.
Tahukah anda sesetengah premis kesihatan menyediakan perkhidmatan farmasi pandu lalu (drive thru)? Perkhidmatan ini disediakan di pusat kesihatan kerajaan untuk pesakit mendapatkan ubat susulan. Anda boleh layari laman web Program Perkhidmatan Farmasi KKM di sini untuk senarai dan penerangan lebih lanjut. [link]
Dengan adanya kemudahan dan fasiliti sebegini, tidak ada alasan lagi jika pesakit ralat untuk mendapatkan ubat-ubat penyakit 3 serangkai di saluran yang betul dan bukannya di internet ya!
Ingat ya semua: Pastikan Semak Sebelum Klik! Sebab itu orang ramai selalu diingatkan menerusi kempen-kempen kesedaran seperti #biarbetuliklanni! dan siaran akhbar tentang hati-hati ubat 3 serangkai online terutamanya demi keselamatan orang ramai.
Jangan lupa tinggalkan #biarbetuliklanni! pada ruang komen pengiklan yang mengiklankan ubat melibatkan penyakit 3 serangkai dan penyakit terlarang yang lain ya!
*Kesemua siri artikel bersempena dengan kempen “Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian” telah disemak oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum disiarkan di internet.
*PENAFIAN: ARTIKEL YANG DITULIS DI SINI TIDAK BERTUJUAN MENYEDIAKAN NASIHAT PERUBATAN, DIAGNOSIS, ATAU RAWATAN. SEBARANG PERTANYAAN LEBIH LANJUT BOLEH DITUJUKAN KEPADA PIHAK DAN BADAN YANG BERKENAAN.