Panduan Pengiklanan Produk Untuk Usahawan
Artikel berjudul “Panduan Pengiklanan Produk Untuk Usahawan kali ini merupakan sambungan kepada kempen Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha untuk mendidik orang ramai “Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian.” Fokus topik entri kali ini adalah untuk golongan usahawan seperti pemilik, agen, dropshipper dan sebagainya yang ada kaitan dengan penjualan ubat, kosmetik mahupun produk supplemen kesihatan.
Dunia Di Hujung Jari: Trend dan Strategi Pemasaran Masa Kini
Strategi pemasaran. Macam mana peniaga produk menarik pelanggan untuk membeli produk yang dijualnya? Semestinya dengan cara membuat iklan kan. Ada banyak kaedah untuk membuat iklan atau promosi dengan kreativiti-kreativiti yang tidak terbatas dek zaman. Dan selaras dengan arus perkembangan zaman, cara penyampaian iklan juga turut sama berubah dan berevolusi. Daripada kaedah mulut ke mulut macam “mesyuarat tingkap” (pinjam ungkapan dari filem lama-lama) hinggalah yang anda lihat sekarang di laman-laman media sosial seperti Instagram, Facebook, Youtube mahupun laman web e-commerce market yang lain.
Namun, tahukah anda di Malaysia, aktiviti pengiklanan di atas talian atau online dipantau ketat oleh badan-badan tertentu kerajaan? Jika anda mengiklankan produk yang berkait dengan kesihatan terutamanya, ada tatacara tertentu seperti larangan – larangan penggunaan sesetengah perkataan, ataupun penggunaan strategi seperti memasukkan testimoni pengguna produk anda. Dengan erti kata lain, usahawan-usahawan tidak boleh semberono terus memuat turun promosi iklan anda tanpa mengambil kira beberapa aspek penting ya.
Permulaan Ke Arah Kaedah Promosi Produk Untuk Usahawan
Jujurnya, aspek pengiklanan berhemah ini sangatlah luas. Jika anda merupakan seorang usahawan di dalam industri produk kesihatan dan barangan kosmetik, sekurang-kurangnya anda perlu tahu tentang garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Iklan Ubat.
Baca dengan lebih lanjut tentang Lembaga Iklan Ubat: Risiko Beli Ubat Online
Usahawan produk kesihatan dan kosmetik tidak boleh mengiklankan produk mereka tanpa melepasi tapisan yang ditetapkan terutamanya oleh badan ini. Produk yang dikelaskan sebagai makanan dan kosmetik tidak sepatutnya membuat tuntutan perubatan pada iklan.
Untuk panduan kepada penjual ubat dan produk berasaskan kesihatan yang ingin mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat, anda boleh menyemak dan memuat turun garis panduan penuh yang dikeluarkan di laman web ini.
Dokumen ini mempunyai 33 halaman muka surat dalam versi hitam putih. [link] Usahawan boleh memuat turun versi e-booklet yang lebih mesra pengguna di sini. [link]
Versi e-booklet adalah lebih ringkas dan mudah dibaca. Hanya ada 8 muka surat sahaja tetapi padat sebagai panduan penting untuk usahawan mempromosikan produk mereka. Jadi, apa yang LunaStory hanya akan lampirkan di perenggan seterusnya adalah sedikit cebisan atau snippet daripada bahan penerbitan tersebut.
Panduan Pengiklanan Produk Untuk Usahawan Daripada Penguatkuasa
Definisi iklan menurut tuntutan undang-undang
Langkah paling utama untuk individu yang akan membuat promosi produk adalah dengan menyemak maksud “iklan.” Di dalam Bahagian 2, Klausa 2.1 Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Iklan Ubat, terdapat 27 senarai bentuk iklan seperti di bawah.
Namun, penekanan paling utama yang perlu diberi perhatian adalah iklan yang berbentuk “product review“, “testimoni” atau “endorsan profesional” serta “individu yang dikenali umum” seperti yang tertera dalam halaman ke – 2 e-booklet ini.
Jadi, jika iklan anda mempunyai unsur-unsur “product review“, “testimoni” atau “endorsan profesional” serta “individu yang dikenali umum“, anda perlu tahu senarai larangan pengiklanan produk yang berkaitan dengan 20 jenis penyakit. Larangan ini anda boleh semak di halaman ke – 3 booklet yang sama.
Larangan pengiklanan produk yang berkaitan dengan 20 jenis penyakit
Keperluan kelulusan iklan daripada Lembaga Iklan Ubat
Keliru sama ada produk anda perlu kelulusan Lembaga Iklan Ubat atau tidak sebelum menyiarkan promosi tersebut? Anda boleh semak di halaman ke – 4 e – booklet.
Seperti yang anda dapat lihat di atas, ada produk yang tidak perlu kelulusan LIU. Namun, usahawan masih terikat dengan syarat tertentu seperti produk TIDAK BOLEH membuat tuntutan perubatan. Contohnya, jangan membuat pernyataan untuk ubat, produk makanan dan kosmetik anda boleh menyembuh kanser, atau mana-mana 20 larangan penyakit yang telah dinyatakan sebelum ini serta peningkatan fungsi jantung atau buah pinggang, peningkatan fungsi seksual serta pengguguran kandungan.
15 Panduan utama pengiklanan produk kesihatan secara bertanggungjawab
Anda boleh baca e- booklet daripada halaman ke – 4 hingga halaman ke – 8.
15 senarai di atas ini adalah beserta dengan contoh yang sangat jelas. Kepada pemilik, pengiklan, stokis, dropshipper, downline dan seumpama dengannya, jika sabit kesalahan anda boleh didenda atau dipenjarakan atau kedua-duanya sekali jika melanggar Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.
Rujukan Lanjut Panduan Pengiklanan Produk
Jika anda ingin lebihkan kepastian, ataupun sebarang pertanyaan lanjut berkaitan iklan ubat, anda boleh mengajukan soalan anda kepada Cawangan Kawalan Iklan dari Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia
Oh, ya. Jika anda ingin mendalami isu ini, anda juga boleh menggunakan hashtag #BiarBetulIklanNi! di laman-laman media sosial rasmi kerajaan. Terdapat banyak infografik yang menarik untuk panduan kita bersama ya.
*Disclaimer: Artikel ini sekadar bahan bacaan am dan tidak bertujuan menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan. Sebarang pertanyaan lebih lanjut boleh ditujukan kepada pihak dan badan yang berkenaan.
Sumber Rujukan Utama:
- “Panduan Kepada Industri Dalam Pengiklanan Produk Kesihatan”, e -book terbitan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia – Link
- “Waspada Iklan Haram”, Portal Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia – Link
- “Garis Panduan Pengiklanan Ubat dan Produk Perubatan kepada Orang Awam Pindaan 2019” – Link