Cara Beli Ubat Online

October 8, 2019 by No Comments

Entri untuk artikel “Cara Beli Ubat Online” kali ini merupakan sambungan daripada artikel sebelum ini yang bertajuk “Selamatkah Beli Ubat Online“. Semoga penulisan ini memudahkan urusan semua pembaca yang mahu membeli ubat secara atas talian (online).

Pengenalan

Definisi ubat ditakrifkan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 sebagai apa-apa bahan, produk atau artikel yang bertujuan atau berupaya untuk digunakan ke atas manusia atau haiwan samada secara dalaman atau luaran, bagi tujuan perubatan

Di Malaysia, kegiatan penjualan dan pemasaran ubat sentiasa dipantau ketat oleh beberapa agensi kerajaan yang berkaitan. Salah satu badan tersebut adalah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Cara Beli Ubat Online
Selain aktiviti penguatkuasaan, promosi kempen turut dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha memerangi kegiatan penjualan ubat-ubatan yang tidak berdaftar di pasaran

Mana tidaknya, dengan revolusi digital sekarang, pengguna tidak perlu lagi keluar dari pintu rumah sendiri untuk membeli-belah. Hanya perlu buka laman web, buat carian dan voila! Apa yang anda cari terus terpampang di muka skrin telefon canggih anda.

Namun, sejauh manakah anda dilindungi daripada tipu daya penjual ubat online yang tidak beretika?

serbuan yang dijalankan oleh kkm yang berkaitan dengan cara beli ubat online
Menurut kenyataan akhbar oleh Ketua Pengarah Kesihatan pada 6 September 2016, satu serbuan di peringkat negara telah dijalankan ke atas 93 premis yang kebanyakannya menjual produk farmaseutikal secara atas talian di seluruh Negara. Sebanyak 1,228 produk Farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut. (sumber lanjut di akhir artikel ini)

Sebab itu pentingnya ada pemantauan berterusan daripada pihak berkuasa. Kalau tidak, anda akan terdedah kepada pelbagai risiko terutamanya kesihatan untuk memastikan keselamatan anda terjamin. Pihak berwajib sentiasa terus-menerus menambah baik dalam usaha untuk mendidik orang ramai dalam mencegah daripada risiko pembelian ubat, produk kesihatan atau kosmetik yang mempunyai bahan terlarang dan tidak didaftarkan.

Usaha untuk mendidik orang ramai tentang risiko membeli ubat sebarangan lebih hebat dipergiatkan lagi dengan menyasarkan kepada pengguna media sosial dengan hashtag rasmi #BiarBetulIklanNi!

lambakan jenis media sosial menjadi kegemaran orang ramai untuk membeli ubat online
Dengan teknologi sepantas kilat, segala macam maklumat dan informasi terkini sangat mudah untuk didapati dengan hanya satu sentuhan jari di aplikasi yang disasarkan sahaja.

Kelebihan ini dimanfaatkan sebaiknya dalam usaha untuk membanteras penyelewengan penjualan ubat-ubat terlarang. Orang ramai hanya perlu memasukkan hashtag #BiarBetulIklanNi! di media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Pelbagai informasi terkini yang terkini dan mudah difahami disediakan oleh pihak berkuasa sebagai panduan bersama.

Tips Membeli Ubat Online

Jika anda mencari tips membeli ubat di laman carian seperti Google dengan kata kunci “cara beli ubat online,” terdapat pelbagai infografik menarik yang disediakan oleh pihak berkuasa. LunaStory akan menyediakan kompilasi-kompilasi tips dan menyusunnya semula sebagai kemudahan kepada pembaca semua.

7 Langkah Membeli Ubat Di Atas Talian atau Online

1# Penjual tersebut mempunyai lokasi premis fizikal yang sah seperti nombor pendaftaran syarikat, nombor telefon, alamat dan sebagainya

Semua jenis perniagaan di Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mempunyai nombor pendaftaran yang unik.

Jika anda bernasib baik dengan mengetahui nombor pendaftaran syarikat tersebut, memadailah jika anda mengisi nombor tersebut di portal SSM di sini. Cara beli ubat online yang ini ini hanya sesuai untuk menyemak kredibiliti organisasi yang menjual sebelum membeli ubat online tersebut sahaja. Jika anda sudah tertipu dan ingin membuat laporan kepada pihak berkuasa, anda mungkin perlu mendaftar dahulu di portal SSM ini.

cara beli ubat online dengan semak kredibiliti farmasi tersebut di portal ssm
Kadang-kadang, penjual akan meletakkan nombor pendaftaran syarikat bersama dengan iklan. Sah atau tidak, anda boleh menyemaknya di sini.

2# dan 3#; Mempunyai kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat serta Menjual ubat yang berdaftar dengan KKM sahaja

ciri ciri ubat berdaftar

Ubat berdaftar yang telah diluluskan perlu memohon kelulusan iklan daripada Lembaga Iklan Ubat atau LIU sebelum iklan tersebut disiarkan dalam mana-mana media. Iklan ubat yang tiada kelulusan LIU adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan & Penjualan) 1956.

Ubat yang berdaftar adalah ubat yang mempunyai nombor pendaftaran MAL yang sah serta mempunyai label hologram MediTag. Pihak berkuasa mempunyai medium tertentu untuk memastikan kedua-dua perkara ini sahih seperti keterangan gambar di bawah ini.

cara pengesahan label hologram meditag

Anda juga boleh menyemak status ubat berdaftar di laman web Agensi Regulatori Farmasi Negara http://www.npra.gov.my atau muat turun aplikasi NPRA Product Status dari Google Play.

npra product status

4# Tidak menjual ubat bagi merawat dan mencegah penyakit-penyakit kronik

Ada 2 jenis pengkelasan ubat, iaitu Ubat Terkawal dan Ubat Am.

Ubat Terkawal dan ubat yang memerlukan preskripsi yang khusus daripada doktor seperti ubat darah tinggi atau ubat kencing manis tidak boleh dibeli secara online, manakala Ubat Am merupakan ubat yang boleh dibeli tanpa preskripsi doktor seperti ubat tradisional, suplemen kesihatan atau vitamin.

Kategori ubat boleh dikenalpasti dengan merujuk kepada abjad yang digunakan pada hujung nombor pendaftaran ubat seperti infografik di bawah ini.

kategori pendaftaran produk penting sebagai asas waspada pembelian ubat online

Ada 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 walaupun ubatnya berdaftar, iaitu:

20 penyakit tidak boleh diiklankan
Penyakit buah pinggang|Penyakit jantung|Kencing manis|Sawan|Lumpuh|Batuk kering atau tuberculosis|Lelah atau asma|Kusta|Barah atau kanser|Pekak|Ketagihan dadah|Hernia|Penyakit mata|Tekanan darah tinggi|Penyakit mental|Kemandulan|Dingin atau frigiditi|Lemah fungsi seks|Penyakit venereal seperti AIDS|Kelemahan urat saraf atau masalah daripada perhubungan seks

5# Semak siapa individu yang beroperasi di belakang tabir

Kalau poin nombor 1# tadi berkaitan dengan cara mengesahkan kewujudan organisasi yang menjual ubat tersebut, poin nombor #5 ini pula untuk membuat carian kredibiliti si penjual tersebut.

copy paste nama individu tersebut di carian enjin seperti google
“Copy-paste” nama individu yang menjual produk ubat tersebut di laman carian enjin seperti Google. Kredibiliti yang dimaksudkan adalah contohnya, adakah penjual ubat online tersebut adalah ahli farmasi dan sebagainya.

6# Tidak menjual ubat melalui Facebook dan media sosial yang lain

Perkataan “tidak” yang digunakan di sini seperti gambar yang utama di permulaan tips ini mungkin terlalu tegas. Apa yang cuba di sampaikan sebenarnya adalah berhati-hati dengan maklumat yang diberikan oleh pengelola laman yang menjual ubat tersebut.

Antara maklumat yang anda perlu berhati-hati adalah maklumat berunsurkan janji manis, testimoni pelanggan dan seumpamanya. Senang cerita, penyataan kualiti ubat yang terlalu terlebih-lebih atau “overclaim”.

berhati hati dengan pelbagai maklumat pada iklan ubat di media sosial
Testimoni bukanlah pengukur kredibiliti atau keaslian yang tepat. Terdapat banyak aplikasi untuk mengedit dan mengubahsuai yang sangat mesra pengguna, walaupun pertama kali mencubanya. Bahaya kan?

7# Tidak menjual ubat terkawal terus kepada orang awam

Seperti yang telah dinyatakan di poin nombor 4#, sebahagian ubat terkawal adalah ubat yang memerlukan preskripsi khusus dari doktor. Kebanyakan ubat terkawal digunakan untuk merawat penyakit-penyakit yang kebanyakannya tidak dibenarkan untuk diiklankan.

Langkah-langkah Lain Sebelum Membeli Ubat Online

Turut dimuatkan di sini juga antara sudut lain yang anda boleh cuba sebelum membeli ubat online.

Ahli farmasi adalah individu yang telah dilatih secara profesional untuk memberi nasihat berkaitan dengan ubat-ubatan. Kerjaya mereka dilindungi di bawah Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951.

Sepertimana kerjaya-kerjaya profesional lain yang dilindungi di bawah akta-akta tertentu, mereka juga perlu menjaga tahap profesionalisme sebagai ahli farmasi. Mereka boleh memberikan pandangan profesional mereka selagi mana ianya berkaitan dengan yang tertakhluk di bawah bidang kuasa mereka, iaitu ubat.

Jadi, jangan takut untuk bertanyakan pendapat mereka, samada mereka adalah ahli farmasi yang bertugas di premis kerajaan mahupun swasta ya. Ataupun di kedai-kedai farmasi.

Gambar ahli farmasi sebagai hiasan

*Disclaimer: Artikel ini sekadar bahan bacaan am dan tidak bertujuan menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan. Sebarang pertanyaan lebih lanjut boleh ditujukan kepada pihak dan badan yang berkenaan.

Sumber Rujukan Utama:

  • Garis Panduan Pengiklanan Ubat dan Produk Perubatan kepada Orang Awam Pindaan 2019 – Link
  • Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan 6 September 2016, “Waspada Pembelian dan Penjualan Ubat Atas Talian” – Link
  • “Mengenali Farmasi Internet Yang Sah” – Link
  • “Iklan Ubat Preskripsi” – Link
  • “Kawalan Iklan Ubat” – Link

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.