Rezeki Ceburi Perniagaan Seramik
Perniagaan seramik sememangnya memberikan banyak keuntungan terutamanya kepada usahawan muda yang berminat untuk menceburi perniagaan berkenaan. Malah, rezeki ceburi perniagaan seramik ini mendatangkan manfaat kepada seorang gadis muda di negeri Kelantan.
Jadi, melalui entri kali ini, Cik Min akan berkongsi sedikit sebanyak tentang perniagaan seramik ini. Informasi yang menarik ini Cik Min dapatkan daripada portal Berita Harian.
Terdedah dengan Pembuatan Seramik Sejak Kecil
Tidak seperti kebanyakan rakan sebaya yang mengejar populariti menjawat profesion tinggi, sebaliknya bermain dengan tanah liat sudah menjadi rutin hariannya dalam mengusahakan pembuatan seramik hingga memberikan pulangan lumayan dan menembusi pasaran antarabangsa.
Amirah Awang, 25, berkata dia mempelajari selok-belok pembuatan seramik daripada ibu bapanya, Awang Yusof, 54, dan Mazura Zakaria, 54. Hal ini dikatakan demikian kerana, ibu bapanya mula membangunkan perniagaan seramik sejak 1994 di bawah label Zutah Crafts.
Katanya, sejak kecil dia didedahkan dengan pembuatan seramik apabila sering mengikut ibu dan ayahnya ke bengkel, setiap kali cuti semester untuk membantu mereka.
“Saya telah mengendalikan perusahaan seramik, sebaik sahaja menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang. Ibu bapa saya memberi sepenuh kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan perusahaan ini sekali gus membantu menjana pendapatan.”
“Penghasilan seramik tidak akan selesai dalam masa sehari kerana ia membabitkan beberapa proses dan setiap proses pula memakan masa.”
“Bagi memenuhi permintaan, dalam sehari sekurang-kurangnya 100 kilogram (kg) tanah liat akan diproses dan mampu menghasilkan sehingga 700 seramik pelbagai bentuk menggunakan bekas acuan. Ia mengambil masa untuk disiapkan kerana perlu melalui pelbagai peringkat proses pembuatan membentuk, mengering, mengukir dan membakar.”
“Bagaimanapun, proses pembakaran ada kalanya agak mencabar kerana mesin pembakar harus diletakkan dalam suhu yang bersesuaian selain perlu berhati-hati kerana tidak mahu seramik dihasilkan itu rosak.”
Produk Dijual Secara Online – Rezeki Ceburi Perniagaan Seramik
Anak sulung daripada empat beradik ini berkata, kebanyakan seramik yang dihasilkan itu dijual melalui Facebook, Instagram dan Shopee. Ia dijual bukan hanya di Kelantan, malah turut memasuki pasaran domestik dan antarabangsa termasuk Singapura.
“Antara produk seramik yang dihasilkan termasuklah kek cawan, epal dan silinder yang kebiasaannya menjadi pilihan pengantin untuk dijadikan cenderahati perkahwinan dan ia dijual serendah RM1.80 sehingga RM5 bergantung kepada saiz dan bentuk seramik yang dipilih oleh pelanggan,” katanya.
Amirah berkata, tempahan yang diterimanya bukan sahaja dari Kelantan, malah seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang memerlukan khidmat pos untuk proses penghantarannya.
“Bagi penduduk setempat atau pelanggan tetap, mereka akan buat tempahan menerusi atas talian atau datang terus ke bengkel di Kampung Seribong.”
“Bagaimanapun, apabila seramik yang ditempah pelanggan menggunakan khidmat pos, ada ketikanya saya berdepan dengan risiko apabila barangan ini retak atau pecah. Namun, saya akan menggantikannya dengan seramik baharu atau mengembalikan wang kepada pelanggan,” katanya yang turut dibantu oleh tujuh orang pekerja.
Setakat ini sahaja perkongsian daripada Cik Min tentang rezeki ceburi perniagaan seramik kali ini. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada para pembaca.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.