Pemasaran Kandungan Era Digital
Ingin tahu tentang pemasaran kandungan dalam perniagaan era digital? Tapi sebelum kita bermula dengan topik hari ini, Cik Min nak bertanya sedikitlah…
Kenalkah anda dengan seorang usahawan Malaysia bernama Khairul Aming? Ya betul, namanya sering menjadi bualan rata-rata masyarakat di media sosial. Kepopularan Khairul Aming ini juga tidak dapat dipisahkan dengan pemasaran kandungan, yang mana sekali gus berkaitan dengan topik pada kali ini.
Apa itu pemasaran kandungan?
Pemasaran kandungan ialah mewujudkan dan berkongsi kandungan-kandungan menarik kepada kumpulan pasaran sasaran, dengan tujuan meningkatkan kesedaran jenama, jualan, penglibatan dan kesetiaan pelanggan.
Untuk pengetahuan anda, pemasaran kandungan yang baik akan dapat menukar prospek menjadi pelanggan dan pelanggan menjadi pembeli berulang.
Mengapakah pemasaran kandungan penting pada era digital ini?
Hal ini kerana, pemasaran kandungan boleh menjadi asas utama yang penting dalam strategi pemasaran.
Pemasaran kandungan ini membantu untuk membina kesedaran dan minat orang ramai terhadap perniagaan anda. Kandungan pemasaran yang menarik dan berkualiti sudah pasti dapat membuka mata pengguna untuk memberikan perhatian kepada sesuatu jenama dengan lebih baik.
Pemasaran kandungan VS pengiklanan pada era digital
Pemasaran kandungan mempunyai kos yang lebih rendah berbanding kaedah pemasaran yang lainnya. Sebelum wujudnya pemasaran kandungan, kebanyakan perniagaan telah menggunakan kaedah pengiklanan untuk memasarkan sesuatu produk atau servis.
Pengiklanan ini merupakan salah satu perkara yang sentiasa muncul dan menggangu tontonan anda sama ada melalui kaca televisyen ataupun secara dalam talian. Lebih-lebih lagi, ketika anda sedang berseronok menonton k-drama atau membaca gosip para artis… Ish, ish, ish, sangat mengganggu!
Seperti kebanyakan pengguna, kita sudah semestinya tidak menyukakan jenis pengiklanan secara paksa ini kan? Ia juga boleh menyebabkan prospek menggunakan penyekat iklan atau melanggan akaun premium bagi perkhidmatan penstriman mereka.
Oleh hal yang demikianlah wujudnya pemasaran kandungan peribadi yang menjadi trend terbaharu dalam bidang pemasaran era digital ini. Pemasaran yang peribadi ini hanya akan muncul mengikut kesesuaian minat para penonton, atau apabila mereka sendiri yang mencarinya. Hal inilah yang dinamakan pemasaran kandungan yang berjaya.
Pemasaran kandungan era digital ini jika dilakukan dengan baik, maka ia tidak akan terasa seperti pemasaran sama sekali.
Seperti salah satu jenama besar iaitu BMW Malaysia, di mana mereka pernah dinobatkan sebagai pemenang di Marketing Excellence Awards Malaysia 2021 kerana strategi pemasaran kandungan mereka telah dikategorikan sebagai terbaik.
Jenis-jenis pemasaran kandungan
Pertama sekali adalah blog. Blog merupakan sebuah platform pemasaran kandungan yang hebat untuk jenama anda, kerana ia agak mudah untuk disediakan. Hal ini kerana, blog adalah lebih mudah untuk ditemui oleh para audiens melalui carian dan mampu kekal relavan untuk para pelanggan di masa hadapan.
Kedua adalah media sosial seperti Facebook, Tiktok, Twitter dan sebagainya yang berfungsi untuk menyasarkan pelbagai kumpulan prospek. Kandungan yang dibuat dengan baik di platform ini akan menjangkau dan menggapai lebih ramai audiens tau! Jenama anda juga akan berprestasi jauh lebih baik dari segi penglibatan pelanggan dan kesedaran jenama.
Kesimpulanya, jika anda ingin memulakan pemasaran kandungan, pastikan anda tentukan matlamat dengan sebaik mungkin terlebih dahulu. Kemudian, pastikan anda memilih saluran yang bersesuaian untuk bermula dan mula mencipta kandungan penjenamaan sendiri dengan teliti.
Ingat, konsisten adalah kunci kejayaan. Selamat mencuba!
Untuk mendapatkan lebih banyak artikel menarik, anda boleh layari laman portal Lunastory.
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.