KKM Perjelas Isu Empty Water
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perjelas isu empty water, iaitu terjemahan daripada air kosong yang berlaku di laman Facebook. Isu ini telah ditangkap layar serta tular di media sosial.
Jadi, melalui entri kali ini, Cik Min ingin berkongsi dengan anda semua tentang kesahihan sebenar isu ini. Informasi yang bermanfaat ini Cik Min dapatkan daripada portal Malaysia Post.
Terjemahan “empty water” dari fungsi auto translate di Facebook
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan terjemahan air kosong kepada “empty water” yang ditangkap layar dan tular di media sosial baru-baru ini, tidak menggambarkan hantaran asal.
KKM menerusi kenyataan, berkata hantaran asal adalah dalam Bahasa Malaysia dan bukannya dalam Bahasa Inggeris.
“KKM mendapati paparan Facebook yang ditangkap layar dan disebar luas menerusi aplikasi WhatsApp pada 3 Januari 2022 adalah berpunca daripada pengguna yang telefonnya telah diaktifkan fungsi “auto translate text” Facebook.
“Keadaan ini menyebabkan perkataan air kosong telah diterjemahkan secara automatik kepada perkataan “empty water” dalam telefon pengguna terbabit,” kata kenyataan itu, hari ini.
Sehubungan itu, KKM berkata bagi mengelakkan kekeliruan mohon kerjasama khalayak untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada fungsi terjemahan automatik. Hal ini dikatakan demikian kerana ia tidak memberi penjelasan yang tepat.
“KKM berharap penjelasan ini dapat memperbetulkan tanggapan yang salah dan kekeliruan yang timbul berhubung isu terjemahan air kosong kepada “empty water” yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.”
Reaksi Netizen – KKM Perjelas Isu Empty Water
Cik Min lihat komen di laman Twitter KKM, rata-rata netizen memberi reaksi yang positif terhadap penjelasan isu ini. Antara komen di Twitter adalah,
“Kesimpulannya, kita perlulah menghargai dan manfaatkan kemahiran yang penterjemah sebenar ada, dan bukan bergantung kepada online software seperti Google Translate sahaja. Sekian pesanan kepada netizen yang membaca.”
“Kesimpulannya ialah jangan tuduh orang KKM tak buat kerja sedangkan terjemahan tersebut dijana secara automatik melalui Facebook.”
Setakat ini sahaja, perkongsian daripada Cik Min tentang KKM perjelas isu “empty water” pada kali ini. Untuk info lanjut berkenaan kesihatan, anda boleh layari portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.
Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.