Filem HERO Jangan Bikin Panas Satu Pembongkaran Konspirasi
Semasa mendapat jemputan ke acara Malam Gala dan Tayangan Perdana Filem Hero Jangan Bikin Panas, penulis membayangkan kisah yang penuh dengan aksi hero dan lasak. Tambahan lagi nama Hisyam Hamid dibariskan sebagai tunjak utama Filem ini.
Kami disajikan dengan pelbagai makanan sebelum tayangan bermula dan kelihatan ramai artis popular yang datang memberikan sokongan kepada Filem Hero Jangan Bikin Panas arahan Darling Ngasri ini.
Ini menambahkan lagi keterujaan penulis untuk menonton files yang penuh aksi ini. Rupa-rupanya bukan sahaja filem aksi malah Filem Hero Jangan Bikin Panas juga dipenuhi dengan babak komedi.
Filem HERO Jangan Bikin Panas
Tajuk Filem : HERO – Jangan Bikin Panas
Tarikh Tayangan : 03 Oktober 2019
Genre : Aksi / Komedi
Pengedar : Empire Film Solution
Pengarah : Azizi Chunk
Penerbit : Darling Ngasri
Pelakon
- Hisyam Hamid – Zafrul
- Bell Ngasri – Ahmad Mustar
- Mark Adam – Adam Fanifinali
- Elisya Sandha – Amylia
- Tash Yong – Suraya
- Datuk Jalaludin Hassan – Master Samiri
- Shaharudin Thambi – Don Shah
- Riz Amin
- Tauke
- Jesse Lim
- Dan lain-lain
Sinopsis Filem HERO Jangan Bikin Panas
Filem Hero Jangan Bikin Panas mengisahkan seorang anggota bomba Zafrul (Hisyam Hamid) yang telah mengalami tragedi kebakaran di pusat Maahad Tahfiz di tempat dia belajar. Tragedi itu telah megorbankan ramai pelajar Tahfiz.
Zafrul kemudiannya menjadi seorang anggota bomba dan nekad untuk membongkar siapa dalang di sebalik trajedi tersebut demi untuk mencari keadilan bagi mangsa-mangsa yang terkorban.
Zafrul secara tidak sengaja telah bertemu dengan 2 orang rakan iaitu Ahmad Mustar (Bell Ngasri) dan Adam Fanifinali yang secara kebetulan telah terpilih menjadi Ahli Bomba di tempat yang sama dengan Zafrul. Mereka kemudiannya bersahabat baik dan sama-sama menyiasat tragedi kebakaran pusat tahfiz sehingga kes tersebut di buka untuk siasatan semua.
Mereka juga turut di bantu oleh dua anggota bomba wanita iaitu Amylia dan Suraya yang menyiasat aktiviti penjualan tanah secara haram. Mereka kemuadiannya mendapati kumpulan itu juga yang terlibat dengan tragedi kebakaran pusat Tahfiz tersebut.
Ulasan Filem Hero Jangan Bikin Panas
Drama bersiri Hero pernah ditayangkan sebelum ini di televisyen yang dilakonkan oleh watak utama iaitu Sharnaz Ahmad. Hero kemudiannya dinovelkan dan kini Hero telah difilemkan dengan jalan cerita yang baru.
Sepanjang tontonan Filem Hero Jangan Bikin Panas ini, dewan pawagam tidak luak dengan gelak ketawa. Ini adalah filem komedi yang selamba tapi dapat membuatkan penonton gelak tanpa henti.
Watak Bell Ngasri dan Mark Adam adalah tunjang kepada Filem Hero Jangan Bikin Panas dan menjadi kekuatan kepada filem ini dengan watak dan karektor yang dibawakan oleh mereka.
Walau pun ada beberapa babak di mana lawaknya agak meleret seperti waktu pertarungan Zafrul dan Adam dengan beberapa geng pencuri, Bell muncul dengan costum seperti raksasa sampah agak mengganggu aksi bertarung dan lawak yang sedang berlaku.
Namun itu tidak merosakkan mood para penonton untuk terus terhibur menonton Filem Hero Jangan Bikin Panas ini.
Antara babak yang menarik dengan skrip yang ringkas tetapi kami tetap ketawa adalah semasa Zafrul, Adam dan Ahmad bertemu di kawasan Masjid. Walau skrip nya agak biasa kami tetap terhibur dek kerana ianya sangat spontan.
“Aku dah cakap dah…Cerita melayu… memang kebetulan je semuanya…”
Ahmad Mustar
Watak Zafrul Dalam Filem Hero Jangan Bikin Panas
Penonton dapat melihat sisi yang berbeza dengan watak yang dibawakan oleh Hisyam Hamid. Secara kebiasaannya beliau sering membawakan watak hero, kacak dan bergaya. Namun di dalam Filem Hero Jangan Bikin Panas ini, Hisyam Hamid ditonjolkan dengan pelbagai aksi yang selamba dan lucu.
Kita dapat melihat seorang hero yang menangis sehingga keluar hingusan serta beberapa aksi dan memek muka yang lucu daripada Hisyam Hamid.
Watak Zafrul dikatakan lurus dan kalut namun karektor tersebut tidaklah begitu dominan. Mungkin kerana penonton lebih teruja melihat Zafrul seorang ahli bomba yang kacak lalu menenggelamkan karektor kalut tersebut.
Watak Adam Fanifinali Dalam Filem Hero Jangan Bikin Panas
Adam Fanifinali adalah watak seorang ahli aksi muay thai. Walaupun bertubuh kecil tapi dengan aksi yang ditontonkan membuatkan kami percaya bahawa Adam sangat handal bertarung.
Handal tapi poyo seperti wataknya di luar filem, Mark Adam berjaya membawakan wataknya dengan baik. Adam adalah seorang yang berjiwa kental walau pun lebih pendiam daripada Ahmad.
Watak Ahmad Mustar Dalam Filem Hero Jangan Bikin Panas
Ahmad Mustar pula adalah seorang peniaga pomade yang dikejar oleh pelanggannya kerana dikatakan menipu dengan produknya. Dia bersama dengan kawannya Adam Fanifinali bernasib baik kerana mereka sama-sama dipilh untuk menyertai pasukan bomba.
Karektor Ahmad sebagai seorang yang agak lemah dan penakut berbanding Adam. Namun Ahmad seorang yang ‘happy go lucky’ dan pantas berfikir. Gabungan mereka menjadikan Filem Hero Jangan Bikin Panas ini menjadi lebih menarik.
Watak Amylia & Suraya Dalam Filem Hero Jangan Bikin Panas
Kemunculan watak Amylia dan Suraya adalah penyeri kepada filem Hero Jangan Bikin Panas ini. Mereka adalah ahli Pasukan Bomba wanita yang turut menjadi kekuatan kepada watak-watak utama.
Amylia menjadi wanita yang rapat denga Zafrul dan membuatkan mereka sedar yang Amylia adalah salah seorang anggota bomba yang menjadi penyelamat semasa kejadian kebakaran Pusat Tahfiz dan menyelamatkan Zafrul.
Suraya juga menjadi penyeri terutama kepada watak Ahmad yang meminatinya sehingga menimbulkan adengan yang melucukan.
Watak Master Samiri dan Don Shah Filem Hero Jangan Bikin Panas
Master Samiri adalah Ketua Kumpulan penjahat dan ditakuti kerana kuasa dan pengaruhnya. Samiri juga mempunyai kuasa luar biasa yang membolehkannya hidup lama.
Watak Master Samiri dilakonkan dengan menarik sekali oleh Datuk Jalaluddin Hassan. Namun penulis tertanya-tanya, apakah perlu karektor Samiri di tonjolkan dengan agak pelik. Wajahnya disolek pucat dan berpakaian aneh. Namun kami dijelaskan di sesi sidang media bahawa watak Samiri telah hidup beribu tahun.
Mungkin perlu dinyatakan di dalam Filem Hero Jangan Bikin Panas ini agar penonton lebih jelas dengan motif dan watak Samiri. Seperti biasa, kelemahan seperti itu tidak membuatkn penonton terganggu kerana Datuk Jalaluddin berjaya menyakinkan bahawa Samiri mempunyai misi jahat.
Don Shah yang dilakonkan oleh Shahrudin Thambi adalah orang kanan Master Samiri. Don Shah ditugaskan untuk mengawal semua gengster di bawah kumpulan Master Samiri dan menjalankan segala perancangan Master selama ini.
Karektor Don Shah dibawakan dengan baik oleh Shahrudin Thambi. Aksi beliau juga mencuit hati para penonton dengan gelagat seorang mafia yang bergaya.
Lain-Lain Watak Dalam Filem Hero Jangan Bikin Panas
Ramai juga pelakon pembantu yang terkenal turut menguatkan lagi jalan cerita Filem Hero Jangan Bikin Panas. Watak Jihan Musa dan Amir Raja lawak diutarakan dalam sejarah kelahiran Ahmad Mustar.
Watak Tauke dan Jessie Lim sebagai pembantu Don juga diselitkan dengan aksi dan telatah lucu mereka dalam menjalankan kegiatan jenayah.
Riz Amin juga turut melakonkan watak Tuan Nazri pegawai kepada Zafrul, Ahmad dan Adam. Penulis terut belajar satu perkataan baru daripada Tuan Nazri. Kalau nak tahu apalah perkataan itu, jangan lupa tonton filem Hero Jangan Bikin Panas.
Shafiq Rahim yang berpengalaman sebagai ahli bomba sebenar juga nampaknya banyak membantu para pelakon dalam mendalami watak sebagai seorang anggota bomba.
Nantikan juga penampilan istimewa Ustaz Auni Mohamad yang sedikit sebanyak memberikan impak positif terhadap realiti cabaran menegakkan Agama Islam kepada penonton. Juga penampilan istimewa Kaza yang turut membantu mewarnai Filem Hero Jangan Bikin Panas.
Ulasan Keseluruhan Filem Hero Jangan Bikin Panas
Walaupun filem ini adalan aksi komedi dan membuatkan penonton tidak kering gusi menontonnya, namun secara tersiratnya banyak mesej yang ingin diutarakan oleh pengarah.
Watak Master Samiri yang hidup kekal merencanakan agenda jahatnya, menunjukkan pihak yang ingin berniat jahat terhadap agama kita takkan berhenti merancang.
Mereka akan terus melaksanakan agenda sehingga sanggup mempergunakan sesiapa sahaja untuk merealisasikan rancangan mereka sama ada hidup atau mati.
Kita sendiri yang harus mempertahankan agama kita dan jangan berputus asa dan menyerah kalah kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu, Jabatan Bomba juga turut memainkan peranan yang utama dalam pembikinan Filem Hero Jangan Bikin Panas ini bagi memastikan jalan cerita dan lakonan tidak lari daripada tugasan sebenar pihak bomba.
Sumbangan dan pengorbanan pihak Bomba seharusnya dihargai dalam banyak segi terutamanya tugas mereka dalam menyelamatkan nyawa masyarakat.
Filem Hero Jangan Bikin Panas ini sesuai untuk ditonton kepada sesiapa yang suka filem yang ringan dan menghiburkan. Dan jangan lupa kita ambil iktibar daripada nilai murni yang disediakan oleh Filem Hero Jangan Bikin Panas.
Kami mengucapkan selamat menonton kepada semua dan jangan lupa layan lagu OST Filem Hero Jangan Bikin Panas yang sangat sedap daripada Hyper Act. ft. Syafiq Farhain
SILA SEMAK JADUAL TAYANGAN DI PAWAGAN SELURUH NEGARA DI SINI