Amalan Sunat Sepanjang 10 Hari Terawal Zulhijjah
Dalam artikel kali ini, Cik Luna nak kongsikan dengan anda amalan sunat sepanjang 10 hari terawal zulhijjah. Dalam kesibukan kita menjalani kehidupan seharian, mungkin ramai tidak sedar bahawa kita sedang menghampiri satu fasa paling istimewa dalam kalender Islam, 10 hari pertama Zulhijjah.
Ia bukan sekadar hari-hari biasa, malah ia diangkat oleh Allah SWT sebagai hari paling afdal untuk melakukan amal soleh, lebih baik daripada hari-hari lain dalam setahun.
Rasulullah SAW sendiri menegaskan kelebihannya:
“Tidak ada hari-hari yang amal soleh padanya lebih disukai oleh Allah daripada 10 hari ini (Zulhijjah)…”
(Hadis Riwayat al-Bukhari).
Jadi, apakah amalan-amalan sunat yang boleh kita lakukan dalam tempoh ini? Disini Cik Luna kongsikan beberapa amalan yang boleh kita lakukan sepanjang Zulhijjah ini.
Amalan-Amalan Sunat Sepanjang 10 Hari Terawal Zulhijjah
1. Berpuasa (Terutama Hari Arafah – 9 Zulhijjah)
Antara amalan paling besar ganjarannya dalam tempoh ini ialah berpuasa, terutamanya pada hari Arafah (9 Zulhijjah). Puasa pada hari tersebut diangkat sebagai amalan yang menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang, menurut hadis sahih riwayat Muslim.
Jika tidak mampu berpuasa kesemua 9 hari, cukup sekadar memilih beberapa hari seperti hari pertama, ke-8, dan ke-9 sebagai bukti usaha mendekatkan diri kepada Allah.
2. Bertakbir, Tahmid dan Tahlil
Selain itu, kita digalakkan untuk memperbanyakkan takbir, tahmid dan tahlil, yang boleh diamalkan seawal 1 Zulhijjah sehingga hari Tasyrik (13 Zulhijjah). Bacaan “Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illallah, Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahil hamd” adalah zikir utama yang dianjurkan sepanjang hari, sama ada selepas solat, di rumah, di tempat kerja atau semasa memandu.
3. Qiyamullail (Tahajjud) dan Solat Sunat
Amalan qiyamullail, iaitu bangun malam untuk solat sunat seperti tahajjud, taubat dan hajat, juga sangat digalakkan. Ini adalah masa yang sangat sesuai untuk memohon keampunan dan doa khusus yang kita harapkan selama ini. Amalan ini boleh dilengkapi dengan membaca al-Quran, contohnya menetapkan target satu juzuk sehari atau sekurang-kurangnya meluangkan masa 15–30 minit untuk tadabbur.
4. Berzikir dan Berdoa
Tidak dilupakan juga zikir harian dan doa-doa mustajab, terutamanya pada hari Arafah, di mana waktu tersebut amat sesuai untuk memanjatkan permohonan paling ikhlas, termasuk hajat besar dalam hidup. Zikir mudah seperti “Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah, Allahu Akbar” boleh diamalkan secara konsisten sepanjang hari.
5. Bersedekah dan Membantu Orang Lain
Bagi yang berkemampuan, jangan lepaskan peluang menyertai ibadah korban. Ia adalah simbol pengorbanan dan tanda ketaatan kepada Allah, sebagaimana Nabi Ibrahim a.s. telah lakukan. Jika tidak mampu melakukannya secara individu, kita boleh menyertai secara berkongsi (1/7 bahagian lembu), atau menyumbang kepada NGO atau pihak masjid yang menguruskan korban untuk fakir miskin.
5. Melaksanakan Ibadah Korban (Bagi yang Mampu)

Kita juga digalakkan untuk bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan — sama ada secara langsung, atau melalui dana wakaf, tabung masjid, atau sumbangan makanan. Pada masa yang sama, ambillah peluang untuk menjaga silaturrahim, memohon maaf sesama insan, menghubungi keluarga yang jauh atau menziarahi orang tua serta jiran tetangga.
Setakat ini sahaja perkongsian yang bertajuk “Amalan Sunat Sepanjang 10 Hari Terawal Zulhijjah” dari Cik Luna dalam artikel ini. Sekiranya anda mahukan artikel-artikel yang lebih banyak daripada kami, anda boleh layari laman portal Lunastory.
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.