Prosedur Permohonan Lesen Premis Perniagaan

October 20, 2021 by No Comments

Ada para usahawan yang masih belum tahu prosedur permohonan lesen premis perniagaan?

Jangan risau! Kali ini, Cik Puteri akan ceritakan prosedur permohonan lesen premis perniagaan, khas buat usahawan yang bakal atau telah pun membuka kedai.

Mengapa usahawan perlu tahu prosedur permohonan lesen premis perniagaan?

Menurut portal MyGovernment, sesiapa yang ingin memulakan perniagaan di Malaysia haruslah mempunyai lesen perniagaan yang sah. Oleh itu, usahawan yang berhasrat membuka kedai perlulah memohon lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Melesen (PBM) yang berkaitan mengikut lokasi dan aktiviti perniagaan.

Untuk memastikan perniagaan dapat beroperasi secara sah, usahawan perlulah mematuhi beberapa bentuk perlesenan. Hal ini boleh merangkumi lesen am, lesen khusus industri / sektor atau lesen khusus aktiviti. 

Lesen perniagaan dikehendaki oleh perundangan dan ditadbir oleh pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan. Lesen perniagaan termasuk pendaftaran, kelulusan, lesen dan permit. Namun begitu, keperluan pematuhan adalah berbeza mengikut industri, aktiviti perniagaan dan lokasi.

Prosedur Permohonan Lesen Premis Perniagaan
Contoh lesen premis perniagaan
Kredit: Facebook Lesen premis dan papan tanda

Syarat-syarat permohonan yang usahawan perlu tahu

  1. Syarikat perniagaan atau perniagaan tunggal hendaklah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM)
  2. Permohonan hendaklah dibuat dengan menggunakan borang permohonan lesen premis dengan mengemukakan bersama dokumen

Pra-syarat permohonan

  1. Salinan Pendaftaran Syarikat / Perniagaan / Pertubuhan (Borang 9 & 49 atau Borang D beserta maklumat perniagaan & pemilik)
  2. Salinan kad pengenalan / pasport pemohon
  3. Visual iklan papan tanda berwarna dan gambar lokasi pemasangan iklan (Jika berkenaan)

Syarat-syarat kelulusan

Bukan sahaja prosedur permohonan lesen premis perniagaan yang perlu diketahui oleh para usahawan, malah syarat-syarat kelulusan juga penting untuk usahawan tahu. Tidaklah nanti usahawan tertanya-tanya mengapa permohonan lesen masih tidak diluluskan.

Antara syarat-syaratnya ialah:

  1. Premis yang di gunakan hendaklah mematuhi dan memenuhi syarat asas Jabatan Perancang dan kawalan bangunan dan mempunyai kelulusan perancang atau Perintah pembangunan (Development Order-DO)
  2. Premis yang digunakan hendaklah mematuhi dan memenuhi syarat dan kehendak asas Bahagian Kawalan Bangunan dan mempunyai kelulusan pelan bangunan dan sijil layak menduduki bangunan (CF / TCF)
  3. Premis yang digunakan hendaklah mematuhi dan memenuhi syarat dan kehendak asas Jabatan Kesihatan
  4. Premis yang digunakan hendaklah mematuhi dan memenuhi syarat dan kehendak keselamatan Jabatan Bomba Malaysia

PERINGATAN:

  • Mengadakan Sistem Kawalan Keselamatan Kebakaran Bangunan di tingkat satu ke atas yang mempunyai tangga tunggal adalah TIDAK dibenarkan
  • Menjalankan perniagaan premis untuk kegunaan bagi aktiviti-aktiviti perniagaan tertentu seperti premis untuk hiburan hendaklah mendapat sokongan Jabatan Polis

Prosedur Permohonan Lesen Premis Perniagaan – Dokumen yang perlu dibawa semasa memperbaharui lesen

Untuk pengetahuan semua, lesen premis perniagaan perlu diperbaharui setiap tahun. Berikut merupakan dokumen yang perlu dibawa oleh usahawan untuk memperbaharui lesen premis perniagaan masing-masing:

  1. Satu keping gambar berwarna berukuran pasport
  2. Salinan resit bayaran pemeriksaan alat pemadam api (bomba)
  3. Salinan sijil kursus asas pengendali makanan yang sah (perniagaan makanan & minuman sahaja)
  4. Sijil suntikan kesihatan (ty2) untuk pelesen & pembantu-pembantu (perniagaan makanan & minumam sahaja)
  5. Salinan bil cukai taksiran yang telah dijelaskan setengah tahun kedua 2009
  6. Lesen asal 2010/ lesen papan iklan 2010
  7. Salinan pendaftaran perniagaan (SSM)

Syarat-syarat lesen

Setelah diberikan kelulusan lesen premis perniagaan, usahawan perlu mematuhi syarat-syarat lesen untuk mengelakkan agar lesen ditarik balik oleh pihak berkuasa. Antara syaratnya termasuklah:

  1. Premis perniagaan yang dilesenkan hendaklah digunakan untuk aktiviti perniagaan seperti yang tercatit dalam lesen
  2. Lesen perniagaan hendaklah sentiasa dipamerkan di tempat / di dinding yang mudah dilihat
  3. Aktiviti perniagaan hendaklah dijalankan dalam premis sahaja dan DILARANG SAMA SEKALI menggunakan kaki lima atau kawasan persekitaran
  4. Bangunan premis yang dilesenkan tidak boleh diubahsuai tanpa kebenaran. Sila hubungi Jabatan Perancang dan Kawalan Bangunan untuk tujuan tersebut
  5. Kebersihan hendaklah sentiasa dijaga samada di dalam /di luar bangunan
  6. Mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan aktiviti perniagaan yang dijalankan tidak mendatangkan pencemaran alam sekitar, kacauganggu bunyi, bau busuk dan halangan
  7. Sediakan tong sampah yang mencukupi dan sampah sarap hendaklah dimasukkan ke dalam beg-beg plastik sebelum dibuang ke dalam tong
  8. Pemeliharaan binatang di dalam premis seperti anjing, kucing, ayam dan sebagainya adalah DILARANG

Sekian sahaja perkongsian Cik Puteri tentang Prosedur Permohonan Lesen Premis Perniagaan kali ini. Diharapkan agar artikel ini berguna untuk memberikan panduan buat para usahawan. Baca juga entri terbaru tentang tips online marketing di sini.

Rujukan:

Prosedur Permohonan Lesen Premis Perniagaan. (2015, December 6). Portal Rasmi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). https://www.mpaj.gov.my/ms/perniagaan/perlesenan/prosedur-permohonan-lesen-premis-perniagaan

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.