Kisah Inspirasi dan Tip daripada Usahawan Tempatan

March 11, 2022 by No Comments

Kisah inspirasi dan tip daripada usahawan tempatan tentunya boleh dijadikan contoh oleh para usahawan dan peniaga di luar sana. Hal ini kerana, usahawan yang berjaya juga pernah mengalami kegagalan dan hampir berputus asa. Namun, mereka tetap berjuang sehingga berjaya.

Jadi, melalui entri kali ini Cik Min ingin kongsikan dengan anda semua tentang kisah inspirasi dan tip daripada usahawan tempatan yang berjaya dalam bidang masing-masing. Sebelum itu, informasi yang bermanfaat ini Cik Min dapatkan daripada portal BH Online.

Kisah Inspirasi dan Tip daripada Usahawan Tempatan

Tip-tip untuk Berjaya | Kisah Inspirasi dan Tip daripada Usahawan Tempatan

Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang. Untuk membina perniagaan bukanlah satu perkara yang mudah. Hakikatnya, jika tidak mahu mencuba atau berani menempuh cabaran, belum pasti kejayaan akan dikecapi. Berikut adalah beberapa kisah inspirasi dan tip daripada usahawan tempatan yang wajar dijadikan contoh buat anda yang mula mahu berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

Mantapkan Diri Dengan Ilmu Keusahawanan – Noraini Ahmad 

Berbekalkan semangat untuk menambah pendapatan demi membesarkan lima anak, Noraini, 65, mula berniaga kuih tradisional secara kecil-kecilan di kawasan kejiranan.

Kemudian, beliau mendapat kontrak untuk membekalkan kuih ke hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur dan kini jenama Noraini’s Cookies mula menjadi buah mulut orang ramai kerana harganya yang lebih murah berbanding jenama lain.

Tidak hanya bergantung pada produk biskut, Noraini juga mengeluarkan produk tepung adunan segera dengan harga mesra rakyat dan memulakan perkhidmatan Original Equipment Manufacturer (OEM) membuat biskut.

“Modal bukanlah segala-galanya tetapi kalau ada, ia adalah satu bonus. Walaupun begitu, dalam perniagaan kena banyak bersabar, kreatif dan fokus dengan tugasan. Kalau boleh, pilih perniagaan yang kurang risiko serta sentiasa mantapkan diri dengan ilmu keusahawanan, pengurusan, pemasaran, waima kemahiran berkomunikasi,” Kata Noraini. 

Jangan Takut Melabur untuk Pemasaran – Rosnah Abdullah | Kisah Inspirasi dan Tip daripada Usahawan Tempatan

Mula mengusahakan perniagaan Rendang Maman sejak tahun 2015, Rosnah, 52, aktif mempromosi Rendang Maman dengan menyertai pelbagai acara seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA), Halal Fest, Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI), Fama Fest dan Karnival Usahawan Desa (KuD).

“Produk Rendang Maman adalah makanan tradisi Gemencheh. Rendang Maman menjadi permintaan ramai tetapi tak semua orang pandai buat kerana daun maman akan pahit jika tak pandai memasaknya.

“Antara cabaran dalam perniagaan Rendang Maman ini adalah bekalan stok daun maman yang kadang-kala terputus,” kata Rosnah.

Selain itu, beliau yang juga pernah mewakili Negeri Sembilan ke Malaysia Food Street Thailand ini juga memberitahu, bahawa seseorang peniaga harus belajar cara-cara untuk memasarkan produk dengan lebih meluas dan jangan takut untuk melabur.

Usaha Hasilkan Produk Alternatif Mi Segera – Muhammad Qutham Khairuddin

Anak keenam daripada sembilan beradik ini menyambung perniagaan keluarga selepas tamat pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) jurusan Diploma Teknologi Makanan.

Perniagaan keluarga ini diasaskan oleh ibunya sendiri, seorang doktor perubatan yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun merawat pesakit di klinik sendiri.

Ibunya mendapati, antara penyebab penyakit adalah berpunca daripada makanan yang tidak seimbang dan mempunyai bahan tambahan kimia.

“Kami memilih untuk memasarkan Mi Sayur Yumny kerana produk ini adalah alternatif kepada mi segera yang menjadi kontroversi terhadap kandungan karbohidrat yang tinggi serta mengandungi bahan tambahan kimia seperti pewarna dan perasa.

Selain itu, kami sedang berusaha meningkatkan produktiviti serta kualiti supaya dapat menjual produk dengan harga mampu beli. Kami juga sedang mengkaji untuk mengeluarkan produk keperluan khusus berasaskan sayur bagi ibu dan anak.”

Sokonglah Barangan Buatan Usahawan Tempatan | Kisah Inspirasi dan Tip daripada Usahawan Tempatan

Menerusi kisah inspirasi usahawan tempatan ini, ternyata produk buatan Anak Malaysia tidak kurang hebatnya.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia oleh Kementerian dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekali gus membeli produk keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.