Jangan Percaya Iklan Ubat di Online
Artikel “Jangan Percaya Iklan Ubat di Online” ini merupakan artikel ke-10 daripada siri artikel yang ditulis bersempena dengan kempen kesedaran “Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian” daripada kempen yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Kepada yang baru pertama kali membaca entri siri LunaStory bersempena kempen “Waspada Pembelian Ubat di Atas Talian” di sini, selamat datang admin ucapkan. Anda mungkin mahu membaca bersama entri pertama “Selamatkah Beli Ubat Online” di link terlebih dahulu.
Iklan Ubat Di Internet
Untuk kali ke seratus lima puluh juta
Mereka tanyakan engkau soalan yang sama
– pinjam lirik lagu “150 Juta” Ainan Tasneem haha
Baca bersama: Selamatkah Beli Ubat Online
Untuk entri terakhir bagi siri ini, admin akan bawa pembaca jenis iklan ubat online yang meragukan dan perlu dielakkan. Ataupun, iklan produk makanan, minuman atau apa-apa iklan produk yang ada membuat claim seakan-akan memberi effect seperti ubat untuk merawat penyakit dan simptom.
Antara Jenis Iklan Ubat Online Yang Perlu Dielakkan
Jangan Percaya Iklan Ubat di Online – Ubat Kurus
Jika anda ada baca entri LunaStory berkaitan yang ke-7, produk-produk makanan, minuman atau ubat sapu yang membuat tuntutan mampu membuat pembeli kurus persis model selalunya berbahaya jika diambil sebarangan. Hal ini kerana terdapat banyak laporan yang produk-produk sebegini dicemari oleh racun terkawal sibutramine.
Baca ini untuk pemahaman tentang bahaya sibutramine: Hati-hati Ubat Kurus Online
Sibutramine adalah antara bahan aktif yang dikawal dan tidak sepatutnya dipasarkan di pasaran awam. Ianya digunakan untuk mengurangkan selera makan. Penggunaan ubat ini hanyalah melalui diagnosis seorang doktor atau dibekalkan oleh seorang ahli farmasi berlesen dengan preskripsi seorang doktor.
Kesan pengambilan sibutramine tanpa kawalan:
Jantung berdegup laju|Tekanan darah meningkat|Pening kepala|Mulut dan tekak kering|Sukar tidur malam|Cirit birit|Sakit jantung|Stroke|Kematian
___
Tuntutan atau claim yang perlu diberi perhatian ubat kurus online yang meragukan:
“Turun X kg dalam seminggu”
“Kurus dalam masa sebulan”
…dan lain-lain tuntutan boleh kurus yang tidak masuk akal tanpa usaha
___
Jangan Percaya Iklan Ubat di Online – Ubat Kuat
Entri LunaStory ke-8 ada mengupas isu ini dengan lebih lanjut tentang isu ini.
Baca ini untuk pemahaman tentang bahaya ubat kuat: Hati-hati Ubat Kuat Online
Ubat kuat tidak sepatutnya terjual dipasaran awam kerana ubat kuat perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Malah, bahan-bahan aktif seperti sildenafil, taladafil dan vardenafil yang terkandung di dalam ubat kuat juga tersenarai di dalam Bahan Terkawal.
Ubat-ubat perangsang seks yang dicampurpalsu ke dalam produk lain adakalanya terdiri daripada bahan aktif yang telah diubahsuai (analog) yang belum ada kajian klinikal terhadap keselamatannya. Ia dikhuatiri lebih berbahaya daripada perangsang seks sedia ada.
Kesan pengambilan ubat kuat tanpa preskripsi doktor perubatan bertauliah:
Pengambilan ubat perangsang seks tanpa nasihat doktor adalah berbahaya kerana kesesuaian dos ubat perangsang seks tidak sama mengikut peringkat umur. Dos yang berlebihan boleh mengakibatkan tekanan darah rendah, sakit dada, berdebar-debar dan ereksi berpanjangan yang tidak surut atau dikenali juga sebagai priapism walaupun setelah berlaku ejakulasi.
-Sumber penerangan berikut dipetik daripada laman Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 5 Januari 2016, “Bahaya Ubat Perangsang Seks” – link
Antara cara untuk mengenalpasti sama ada produk makanan atau minuman atau ubat sapuan dicampur dengan ubat kuat:
- Harga produk minuman pra-campuran yang lebih mahal berbanding biasa.
- Iklan berbaur…seksual dan menggalakkan kepuasan bila bersama dengan pasangan.
___
Jangan Percaya Iklan Ubat di Online – Ubat Pemutih Kulit
Baca dengan lebih lanjut isu ubat pemutih kulit di sini. [link]
Di dalam petikan akhbar di link di atas, ubat pemutih kulit biasanya dicemari dengan bahan aktif Tranexamic acid.
Seperti di dalam kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (8 Mei 2019) di link Facebook di atas, ubat pemutih kulit yang tidak berdaftar dan bernotifikasi berpotensi mengandungi Tranemaxic acid yang hanya boleh didapati dengan preskripsi doktor.
Jika diambil secara salah, anda mungkin mengalami penurunan tekanan darah secara mendadak dan thromboembalic event (pembentukan darah beku yang kemudian tersebar keseluruhan sistem peredaran darah), seterusnya membawa kepada kematian.
Produk kosmetik yang berdaftar secara sah secara amnya perlu ada notifikasi yang bermula dengan ‘NOT’ dan ditanda dengan huruf ‘K’ dihujung notifikasi. Contohnya, NOT05041234K.
___
Anda boleh semak status ubat pemutih kulit di internet sebelum membelinya dengan mendapatkan nombor notifikasi tersebut dan semak di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia. [link]
___
Jangan Percaya Iklan Ubat di Online – Ubat Penyakit Kronik
Semua iklan ubat perlu kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat. Namun, iklan ubat untuk penyakit kronik tidak boleh diiklankan sebagai tuntutan perubatan.
Trend masa sekarang ialah produk makanan atau minuman yang dijual secara online sering disulami dengan tuntutan perubatan penyakit kronik.
Bacaan untuk pemahaman tentang tuntutan perubatan: Hati-hati Ubat 3 Serangkai
___
Ingat ya semua: Pastikan Semak Sebelum Klik! Sebab itu orang ramai selalu diingatkan menerusi kempen-kempen kesedaran seperti #biarbetuliklanni! dan siaran akhbar tentang hati-hati ubat 3 serangkai online terutamanya demi keselamatan orang ramai.
___
Tahukah anda yang hebahan mengenai isu kempen waspada ubat haram tidak berdaftar dan produk tidak bernotifikasi sangat giat dijalankan oleh pihak berkuasa, terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia?
Di internet, anda boleh mengikuti Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia [link] untuk hebahan maklumat terkini tentang produk-produk yang dirampas.
Ataupun anda boleh semak senarai produk yang diharamkan di Malaysia di sini. [link]
Jika anda aktif di Facebook, anda boleh mengikuti laman-laman kerajaan seperti Program Perkhidmatan Farmasi KKM [link]. Selalunya laman-laman ini ada hebahan untuk orang ramai untuk sesi wawancara pendidikan tentang bahaya ubat online sama ada di radio ataupun televisyen.
Penutup
Jika anda terjumpa iklan ubat online yang disyaki produk ubat tidak berdaftar dan bernotifikasi dengan KKM serta produk bukan ubat yang mengandungi tuntutan perubatan, bantu usaha KKM untuk membanterasnya demi masa depan anak-anak kita dengan membuat laporan di saluran yang betul.
Cuba tinggalkan tanda pagar #biarbetuliklanni! pada ruangan komen pengiklan tersebut. Mulakan dengan membuat pemeriksaan kesihatan berkala dan rajin bertanya kepada pakar yang bertauliah ya jika anda inginkan kepastian, bukannya percaya dengan maklumat carian di internet semata-mata.
*Kesemua siri artikel bersempena dengan kempen “Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian” telah disemak oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum disiarkan di internet.
*PENAFIAN: ARTIKEL YANG DITULIS DI SINI TIDAK BERTUJUAN MENYEDIAKAN NASIHAT PERUBATAN, DIAGNOSIS, ATAU RAWATAN. SEBARANG PERTANYAAN LEBIH LANJUT BOLEH DITUJUKAN KEPADA PIHAK DAN BADAN YANG BERKENAAN.