Pekerja Autisme Bina Keyakinan di Kafe

March 16, 2022 by No Comments

Ramai dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) kini sudah mampu mencari pekerjaan sendiri. Malah, ada dalam kalangan mereka mula menceburi bidang perniagaan sebagai sumber pendapatan. Tidak kurang juga dengan seorang pekerja autisme bina keyakinan di kafe ini. Ia sememangnya sesuatu yang berharga dan luar biasa.

Mari ikuti dengan lebih lanjut tentang kisah inspirasi mengenai pekerja autisme bina keyakinan di kafe ini. Sebelum itu, informasi bermanfaat ini Cik Min dapatkan daripada portal BH Online.

Pengalaman Berharga | Pekerja Autisme Bina Keyakinan di Kafe

Meskipun sesetengah pekerja dalam kalangan autisme masih kurang yakin ketika menghantar pesanan makanan dan minuman pelanggan di kafe tempat bekerja, namun, mereka berkemampuan untuk berdaya saing dengan kakitangan normal.

Bagi pekerja autisme bina keyakinan di sebuah kafe iaitu Autism Cafe Project yang terletak di USJ, Petaling Jaya, Mohd Syamir Rizal Hishamudin, 23, menganggap tugas baharunya di situ memberi pengalaman sangat berharga.

Sebelum itu, beliau menimba pengalaman bekerja di kafe milik ibunya di Cameron Highlands dengan tugas utama membasuh pinggan dan cawan. Bagaimanapun, peluang bekerja di Autism Cafe Project adalah yang pertama memerlukan Mohd Syamir Rizal mula berinteraksi dengan pelanggan.

“Memang ada sedikit rasa kurang yakin dan takut tetapi saya cuba juga. Semua pelanggan baik. Setiap kali selesai menghantar pesanan, mereka ucapkan terima kasih dan saya mesti membalas dengan ucapan sama-sama,” katanya.

Autism Cafe Project | Pekerja Autisme Bina Keyakinan di Kafe

Autism Cafe Project diasaskan Mohd Adli Yahya, menjadi platform belia dan remaja autisme, untuk meningkatkan kemahiran, berinteraksi dan bertemu, serta membina keyakinan diri di kafe berkenaan. 

Sejak diwujudkan lima tahun lalu, kafe itu menerima hampir 40 kakitangan, terdiri daripada individu autisme berusia seawal 13 hingga 40 tahun.

Mohd Syamir Rizal bermula sebagai pekerja separuh masa di Autism Cafe Project sebelum menjadi pekerja sepenuh masa, bulan lalu.

“Sebelum ini saya ada juga dengar jika bekerja dengan orang, mungkin akan dipijak kepala jadi risau juga. Tetapi rupanya tak betul pun semua itu. Setakat ini pengalaman bekerja di sini baik-baik sahaja. Selain hantar pesanan makanan dan minuman pelanggan, saya cuci pinggan serta cawan dan mengelap sudu. Saya turut dilatih untuk membuat biskut,” katanya.

Mohd Syamir Rizal yang gemar menonton anime pada waktu lapangnya, berhasrat meningkatkan kebolehannya dengan mempelajari kemahiran membuat roti, pada masa hadapan.

Pekerja separuh masa di kafe sama, Benjamin Mok, 18, menyifatkan pengalaman kali pertama bekerja itu membolehkannya mempelajari pelbagai kemahiran baharu.

“Saya tidak pernah bekerja sebelum ini. Jadi pengalaman ini sesuatu yang menarik. Selain membersihkan meja dan membasuh pinggan mangkuk, saya paling suka apabila berpeluang untuk belajar memasak. Hidangan pertama saya belajar di Autism Cafe Project ialah carbonara,” katanya.

Mempelajari Pelbagai Resipi

Ketika kunjungan BH ke kafe berkenaan baru-baru ini, Mok, Mohd Syamir Rizal dan Muhamad Luqman Shariff, sedang dilatih membuat biskut dan sangkaya.

Mok masih menuntut di Subang Jaya, mula bekerja di kafe itu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Sebagai pekerja separuh masa, beliau hanya bekerja dua hari seminggu iaitu setiap Khamis dan Jumaat bermula jam 11 pagi hingga 4 petang.

Selain berpeluang mempelajari pelbagai resipi, Mok yang gemar membaca novel, melukis serta menonton televisyen, dilatih untuk menyediakan bahan masakan di samping membersihkan meja serta membasuh pinggan.

Beliau yang bercita-cita menjadi tukang masak suatu hari nanti mahu mencari pengalaman termasuk aspek masakan di sini.

Mohd Adli pula berkata, individu autisme tidak boleh memberi tumpuan lama, hanya bekerja lima jam saja setiap hari bagi memastikan tugasan sempurna.

“Sebagai insan autisme, ada had dalam kerja mereka dan pastikan tugasan sesuai. Mereka akan bermula sebagai pekerja separuh masa sebelum menjadi pekerja sepenuh masa supaya dapat membiasakan diri dengan suasana di sini ” katanya.

Beliau gembira semua kakitangan menunjukkan peningkatan memberangsangkan selepas bekerja di sini, selain bersama-sama meluangkan masa menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menonton wayang, menaiki tren, berkelah dan solat berjemaah.

Sekian sahaja perkongsian mengenai pekerja autisme bina keyakinan di kafe kali ini. Semoga informasi ini memberi maklumat bermanfaat kepada anda.

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.