Panduan Pengiklanan Untuk Selebriti Atau Influencer

October 17, 2019 by No Comments

Artikel bertajuk “Panduan Pengiklanan Untuk Selebriti Atau Influencer” ini disediakan sebagai sambungan kepada kempen Kementerian Kesihatan Malaysia dalam usaha untuk mendidik orang ramai “Waspada Pembelian Ubat Dalam Talian.” Fokus topik entri kali ini adalah untuk golongan selebriti atau pempengaruh [influencer] yang terlibat di dalam pengiklanan berkaitan dengan ubat-ubatan, produk kesihatan dan produk kosmetik.

Selebriti Atau Influencer: Individu Berpengaruh di Media Sosial

Sebelum kita sentuh tentang panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer, kita kena kenal dulu orangnya, kan? Benda pertama yang admin terfikir bila sebut ‘selebriti’ atau ‘influencer’ ini adalah follower, atau pengikut. Tapi kan, kalau nak tahu sama ada panduan ini ada kaitan dengan anda atau tidak, carian secara khusus atau teknikal mungkin lebih sesuai. Pening pun nak cerita berapa ramai follower baru boleh diiktiraf sebagai influencer. Banyak sangat sumber kalau dicari di internet, tapi lebih baik kalau faham maksud nya dulu kan?

Definisi Selebriti dan Influencer: Carian secara Teknikal

Carian secara teknikal yang dimaksudkan di sini adalah maksud yang diterbitkan secara rasmi atau disahkan oleh kerajaan atau yang berkuasa.

panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer 1
Admin masa zaman mengaji dulu kena usung Kamus Dewan Bahasa berkulit keras dan tebal dalam kelas Bahasa Melayu. Zaman sekarang lebih mudah sebab kamus ini juga tersedia di dalam bentuk carian dalam talian. [gambar sebagai hiasan]

Selebriti – Orang yg terkenal dan menjadi tumpuan ramai, terutamanya dlm bidang hiburan spt bintang filem, pelakon dan penyanyi. [sumber: Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat – link]

Influencer – Menurut penerangan yang diberi oleh DBP menerusi soalan am yang diajukan kepada mereka pada tahun 2017, [link], padanan yang sesuai dalam bahasa Melayu ialah ‘orang berpengaruh.’

panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer 2

Pada 15 April 2019, satu hebahan umum dikeluarkan secara rasmi untuk menerangkan maksud influencer dalam istilah semasa sebagai “pempengaruh” di dalam bidang komunikasi massa dan pemasaran. Infografik ini dikeluarkan menerusi ‘timeline photo‘ di laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka. [link]

Daripada padanan melalui maksud sahaja dah ada petunjuk penting, iaitu mereka adalah orang yang ada pengaruh dan berkemampuan untuk membuat individu lain mengikuti mereka.

panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer 3

Trend pemasaran produk masa kini juga banyak dipengaruhi oleh penampilan selebriti dan influencer sebagai duta atau jurucakap untuk iklan produk. Produk yang dimaksudkan termasuklah ubat-ubatan, produk kesihatan dan produk kosmetik kecantikan.

panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer 4
Namun, harus diingatkan, berapa ramai pun pengikut selebriti dan influencer di media, ada tatacara tertentu seperti larangan – larangan penggunaan sesetengah perkataan, ataupun penggunaan strategi seperti memasukkan testimoni yang anda perlu beri perhatian khusus. [Photo by Maddi Bazzocco on Unsplash]

Definisi Selebriti dan Influencer: Menurut Panduan Terbitan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi

Di dalam e-booklet Panduan Kepada Selebriti Dalam Pengiklanan Produk Kesihatan [link], takrifan untuk selebriti ialah:

“Individu yang dikenali umum dan kerana status selebritinya boleh menggalakkan penggunaan produk perubatan. Contohnya, pelakon, penyanyi, pengacara, asatizah [ustaz atau ustazah], ahli sukan, blogger, model, angkasawan, animasi dan lain-lain.”

Kepentingan Panduan Pengiklanan Untuk Selebriti dan Atau Influencer Di Alam Maya

Di Malaysia, pengiklanan berunsurkan produk ubat-ubatan, produk kesihatan dan kosmetik dipantau ketat oleh badan-badan tertentu kerajaan terutamanya daripada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia. Jika ada pelanggaran undang-undang dan disabitkan kesalahan, ada hukuman tertentu seperti infografik di bawah yang boleh dikenakan sebagai tindakan demi memastikan keselamatan pengguna produk yang anda iklankan terjamin.

kesalahan jual tanpa kelulusan liu

Antara carian yang naik di tangga teratas carian Google baru-baru adalah kes denda golongan artis oleh mahkamah kerana memiliki dan menjual kosmetik tidak bernotifikasi. [link]

Jadi, apakah aspek yang paling penting sebagai selebriti atau influencer bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang yang terjadi semasa mengiklankan ubat dan produk kesihatan terutamanya? Secara tidak langsung, maklumat sebegini boleh melindungi anda daripada keraguan jika pihak yang memberi sponsor kepada anda membayar anda untuk mempromosikan produk yang tidak bernotifikasi dan sebagainya.

Panduan Pengiklanan Untuk Selebriti Atau Influencer Daripada Penguatkuasa

Baca juga: Panduan Pengiklanan Produk Untuk Usahawan

Artikel LunaStory sebelum ini mengetengahkan panduan untuk golongan usahawan produk [link di atas] berdasarkan bahan penerbitan daripada laman web rasmi Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Panduan yang sama juga dikeluarkan khusus untuk golongan selebriti. Seperti panduan versi untuk usahawan, panduan versi untuk selebriti juga di dalam bentuk e-booklet yang berwarna-warni [link] untuk memudahkan isi kandungannya dibaca berbanding dengan versi penuh hitam putih [link]

panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer 5
E-booklet ini boleh dimuat turun di laman web rasmi Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia

Kandungan utama e-booklet ini adalah seperti berikut:

  1. Tujuan kawalan iklan perubatan
  2. Definisi iklan mengikut Akta Ubat [Iklan dan Penjualan] 1956
  3. Larangan Pengiklanan Produk Yang Berkaitan Dengan 20 Jenis Penyakit
  4. Keperluan Kelulusan Lembaga Iklan Daripada Lembaga Iklan Ubat [LIU]
  5. 13 Panduan Bagi Pengiklanan Produk Kesihatan Secara Bertanggungjawab oleh Selebriti
  6. Sabit Kesalahan Jika Melanggar Peraturan di Bawah Seksyen 5 Akta Ubat [Iklan dan Penjualan] 1956

Jika anda mengikuti artikel sebelum ini tentang Panduan Pengiklanan Untuk Usahawan, kandungan utama di e-book Panduan untuk Selebriti bernombor 1, 2, 3, 4, dan 6 adalah sama dengan Panduan Untuk Usahawan.

Hal ini terjadi kerana kedua-dua e-booklet yang telah disebutkan tadi adalah komplimentari kepada Garis Panduan Pengiklanan Ubat dan Produk Perubatan Kepada Orang Awam [Pindaan 2019] dan Akta Ubat [Iklan dan Penjualan] 1956 yang dikuatkuasakan.

panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer 6
panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer 7
panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer 8
panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer 9

13 Panduan utama untuk selebriti sebelum beriklan

Seperti Panduan Pengiklanan untuk Usahawan, panduan yang disediakan di sini juga tidak banyak bezanya. Kebanyakan pernyataan di dalam panduan ini merupakan penekanan paling penting sebagai selebriti seperti perkataan atau perbuatan apa yang perlu dielakkan sebelum menerima tawaran untuk beriklan.

panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer 9

Perhatikan panduan 1 hingga 4. Pernyataan di sini jelas mengatakan hanya ubat yang berdaftar dan bernotifikasi dan bukannya jenis ubat terkawal dan berpreskripsi (nombor MAL berakhir dengan A) yang boleh diiklankan. Panduan 5 merupakan peringatan kepada selebriti untuk tidak terlibat di dalam penyiaran produk kesihatan yang melanggar akta-akta yang telah dikuatkuasakan seperti Akta Iklan [Ubat dan Penjualan] 1956 dan sebagainya.

panduan pengiklanan untuk selebriti atau influencer 10

Anda perlu peka, terutamanya bagi yang beragama Islam untuk tidak sembarangan membuat mengaitkan makanan dengan sunnah atau yang berkaitan dengannya yang bertentangan dengan Pekeliling JAKIM Bil 2 Tahun 2016 [link].

Senarai nombor 7 panduan ini ada mengatakan tentang iklan makanan yang produknya mengandungi ‘negative list’ TIDAK SEPATUTNYA DIIKLANKAN melainkan ianya telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan mendapat kelulusan Lembaga Iklan Ubat. Anda boleh lihat senarai tersebut dibawah ini. [link]

senarai makanan negatif npra 1
[dipetik daripada Lampiran B, Pekeliling Kriteria Baru Pengkelasan Produk Food Drug Interphase FDI bertarikh 7 Ogos 2014]

Penutup

Hati-hati sebelum menerima tawaran untuk beriklan, menjadi duta atau jurucakap untuk pemasaran produk yang di bawah seliaan pihak berkuasa, terutamanya yang telah disenaraikan tadi. Jika anda mengiklankan produk anda sendiri, pastikan ianya berdaftar dan menggunakan saluran yang betul dan tepat. Jangan menyesal tak sudah di kemudian hari nanti ya.

Oh, ya. Jika anda ingin mendalami isu ini, anda juga boleh menggunakan hashtag #BiarBetulIklanNi! di laman-laman media sosial rasmi kerajaan. Terdapat banyak infografik yang menarik untuk panduan kita bersama ya.

*Disclaimer: Artikel ini sekadar bahan bacaan am dan tidak bertujuan menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan. Sebarang pertanyaan lebih lanjut boleh ditujukan kepada pihak dan badan yang berkenaan.

Sumber Rujukan Utama:

  • “Panduan Kepada Selebriti Dalam Pengiklanan Produk Kesihatan”, e -book terbitan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia – Link
  • “Garis Panduan Pengiklanan Ubat dan Produk Perubatan kepada Orang Awam Pindaan 2019” – Link
  • Senarai ‘Negative Food List’ – Link
  • Pekeliling JAKIM Bil 2 Tahun 2016 [link]

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.