Format Duit Keluar Masuk dalam Perakaunan

May 13, 2022 by No Comments

Usahawan pastinya berhadapan dengan duit keluar dan duit masuk pada setiap hari. Namun, tak ramai yang tahu tentang format duit keluar masuk.

Jadi, dalam artikel kali ini, Cik Min akan menerangkan secara ringkas mengenai format duit keluar masuk yang perlu diketahui oleh setiap usahawan.

Sebelum Cik Min terlupa, sekiranya tuan puan mengalami masalah resit, invois, bil dan dokumen sokongan lain yang berterabur, Cik Min jemput untuk baca artikel mengenai Dokumen Sokongan Perakaunan Berterabur.

5 Kategori Duit Masuk | Format Duit Keluar Masuk

Untuk mengetahui tentang format duit keluar masuk, usahawan perlulah mengenali kategori-kategorinya dahulu. Bagi duit masuk, terdapat 5 kategorinya iaitu:

  1. Jualan
  2. Pinjaman
  3. Pendahuluan
  4. Pelaburan
  5. Lain-lain

Tak faham? Jangan risau, biar Cik Min berikan definisi ringkas bagi setiap kategori tersebut.

1. Jualan

Duit dari hasil jualan hakiki sesebuah perniagaan itu.

2. Pinjaman

Duit yang dipinjamkan sama ada oleh pemilik (Enterprise atau syarikat) atau orang luar. Biasanya, pinjaman berlaku dengan syarat dan terma sama ada secara verbal atau bertulis yang dipanggil perjanjian.

3. Pendahuluan

Duit yang didahulukan oleh pemilik (Enterprise atau syarikat) apabila duit dalam bank (Enterprise atau Syarikat) tidak cukup untuk membayar keperluan bisnes atau belanja operasi.

4. Pelaburan

Duit yang dilaburkan oleh orang luar kepada sesebuah Enterprise atau syarikat. Duit pelaburan ini juga ada syarat dan terma yang kebiasaanya dibuat secara bertulis.

format duit keluar masuk
Kredit: Burak Kebaber

5. Lain-lain

Duit hasil dari faedah atau dividen pelaburan atau jualan yang selalu kita panggil bisnes tepi (bukan bisnes hakiki sesebuah perniagaan itu).

Beza antara Pendahuluan, Pinjaman dan Pelaburan | Format Duit Keluar Masuk

  • PENDAHULUAN biasanya tiada terma dan syarat yang dikenakan dan ianya hanyalah untuk tujuan menampung ketidakcukupan amaun yang kecil dan tempoh yang pendek.
  • Manakala, PINJAMAN dan PELABURAN mempunyai terma dan syarat dan melibatkan amaun yang besar dan tempoh yang panjang.

Perbezaan antara PINJAMAN dan PELABURAN adalah dari segi terma dan syarat di mana terma dan syarat pinjaman biasanya melibatkan faedah. Jika gagal membayar balik pinjaman tersebut, peminjam boleh diisytiharkan bankrap.

  • Terma dan syarat pelaburan pula biasanya berkonsepkan “win-win”.
  • Pelabur akan mendapat keuntungan daripada pelaburannya, manakala orang yang menerima duit pelaburan dapat menjayakan projek dengan duit pelaburan tersebut.
  • Namun jika gagal, kedua-dua pelabur dan penerima duit pelaburan akan sama-sama menanggung duit pelaburan tersebut.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, tuan puan boleh tonton video LIVE di Facebook Mentor Akaun.

Sekarang, tuan puan sudah pun tahu tentang sebahagian daripada format duit keluar masuk. Jom Cik Min teruskan dengan apa yang dimaksudkan dengan duit keluar.

5 Kategori Duit Keluar | Format Duit Keluar Masuk

Seperti duit masuk, duit keluar juga mempunyai beberapa kategori, iaitu:

  1. Kos
  2. Belanja
  3. Bayar Hutang
  4. Beli Aset
  5. Lain-lain

Cik Min huraikan setiap kategori tersebut di bawah ya.

1. Kos

Amaun yang dibelanjakan untuk menghasilkan barang jualan.

2. Belanja

Amaun yang dibelanjakan untuk belanja operasi seperti sewa pejabat, gaji, penyelenggaraan dan lain-lain.

Tonton video di bawah untuk penerangan lanjut mengenai belanja.

3. Bayar Hutang

Amaun yang dikeluarkan untuk bayar hutang seperti hutang kepada pembekal.

4. Beli Aset

Amaun yang dikeluarkan untuk beli aset syarikat seperti kereta atau perabot pejabat.

5. Lain-lain

Amaun yang dikeluarkan selain daripada yang dinyatakan di atas.

Beza antara Kos dan Belanja | Format Duit Keluar Masuk

  • KOS adalah duit keluar untuk membeli barang yang berkaitan dengan produk yang dijual atau perkhidmatan yang ditawarkan. 
  • BELANJA adalah duit keluar selain daripada pembelian barang yang berkaitan dengan produk yang dijual atau perkhidmatan yang ditawarkan. Contohnya seperti belanja operasi pejabat, pemasaran dan lain-lain.

Cik Min ambil contoh usahawan produk pastri dan roti.

  • Kos bagi usahawan ini adalah apabila beliau membeli barang berkaitan pastri dan roti, seperti: 
  1. Tepung gandum
  2. Telur ayam
  3. Mentega

Manakala, belanja bagi usahawan ini adalah:

  1. Sewa kedai
  2. Gaji pekerja
  3. Penyelenggaraan

Mudah sahaja kan nak faham tentang format duit keluar masuk?

Apa Nak Buat Kalau Usahawan Ada Membuat Pembelian Aset? | Format Duit Keluar Masuk

Apabila tuan puan membeli aset, pastikan simpan resit dan sediakan senarai aset.

Ada dua (2) perkara usahawan dinasihatkan apabila membuat pembelian aset iaitu:

  1. Simpan resit beli aset.
  2. Rekodkan pembelian aset itu dalam senarai aset, sama ada secara manual atau sistem.

Kebiasaannya, apabila usahawan membeli aset seperti peralatan pejabat (contohnya penyaman udara, komputer dan lain-lain) atau perabot pejabat (contohnya “work station”, rak fail dan lain-lain), mereka tidak menyimpan resit pembelian.

format duit keluar masuk
Kredit: Cadeau Maestro

Hal ini kerana mereka tidak tahu kepentingan menyimpan resit tersebut dan kesan yang bakal berlaku apabila resit tersebut tidak disimpan.

Setakat ini sahaja perkongsian Cik Min mengenai format duit keluar masuk dalam perakaunan. Semoga perkongsian kali ini dapat membantu usahawan yang masih belum tahu secara spesifik mengenai duit keluar masuk yang terlibat dalam transaksi harian.

Maklumat Lanjut

Perlukan bimbingan lanjut mengenai pengurusan kewangan syarikat? AR Success merupakan sebuah syarikat yang pakar dalam menguruskan akaun kewangan syarikat usahawan atau peniaga. Hubungi 019-626 3206 (Puan Rozita) untuk penjelasan yang lebih lanjut.

•••

Penafian
Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.

Untuk artikel lain, boleh klik LunaStory.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.